Bomba bantu keluarkan penutup singki di jari kanak-kanak
Aida Aziz
Januari 25, 2023 06:30 MYT
Januari 25, 2023 06:30 MYT
KAMUNTING: Sepasukan anggota bomba mengeluarkan jari seorang kanak-kanak lelaki yang tersepit pada penutup singki di Kampung Jana, di sini, petang semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, penutup singki itu tersepit di bahagian jari telunjuk kanan kanak-kanak berusia empat tahun itu.
"Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.48 petang dan seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting bergegas ke lokasi.
"Setibanya di lokasi mendapati seorang kanak-kanak tersepit di bahagian jarinya, komander operasi kemudian mengarahkan anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi memotong penutup tersebut," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Karim Mohammad itu tamat pada jam 6.08 petang.