Bomba bantu keluarkan mata kail tersangkut di lelangit kucing
Adie Sufian Zulkefli
Disember 22, 2021 16:15 MYT
Disember 22, 2021 16:15 MYT
ALOR SETAR: Seorang pemilik kucing hairan apabila kucing jantan peliharaannya tiba-tiba bertukar menjadi agresif.
Bagaimanapun, sebaik diperiksa kucing itu menahan kesakitan apabila mata kail tersangkut pada lelangit mulutnya.
Sedih melihat teriakan kucing itu, lelaki berusia 40-an itu bertindak membawa kucing kesayangannya itu ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar pada pukul 10.26 pagi ini.
Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, tiga anggotanya terpaksa menenangkan kucing itu sebelum mata kail berbentuk ikan itu berjaya. dikeluarkan dengan menggunakan alat pemotong.
“Operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan parah pada mulut haiwan berkenaan.
"Tidak sampai lima minit, mata kail itu berjaya ditanggalkan dan kucing berkenaan diserahkan semula kepada pemiliknya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Ahmad Naufal berkata, anggotanya kemudian menasihatkan pemiliknya supaya membawa kucing berkenaan ke klinik haiwan untuk melakukan pemeriksaan lanjut.