Bomba bantu keluarkan kaki penunggang tersepit pada rantai motosikal
Abd Razak Mohd Ali
Mei 1, 2022 18:10 MYT
Mei 1, 2022 18:10 MYT
BATU GAJAH: Anggota bomba bergegas untuk membantu mengeluarkan kaki seorang lelaki yang tersepit pada rantai motosikal yang ditunggangnya di Jalan Ipoh-Lumut, dekat sini, hari ini.
Kaki kanan lelaki berusia 27 tahun tersepit selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan di jalan tersebut.
Menurut jurucakap Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.30 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang terbabas, menyebabkan kaki kanan mangsa tersepit pada rantai motosikal,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong rantai motosikal bagi mengeluarkan kaki mangsa.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Isa Zainal tamat 11 pagi.