Bomba bantu kebumi jenazah pesakit COVID-19 seberat 180kg

Adie Sufian Zulkefli
Jun 6, 2021 23:16 MYT
Jenazah wanita berusia 55 tahun yang mempunyai masalah obesiti itu tiba di tanah perkuburan berkenaan pada jam 2.52 petang. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Jenazah seorang wanita dengan berat badan 180 kilogram yang meninggal dunia akibat COVID-19 selamat dikebumikan dengan bantuan anggota bomba di sebuah tanah perkuburan Islam di Pinang Tunggal di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bantuan khidmat khas bomba telah digerakkan selepas menerima permintaan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 1.58 tengah hari tadi.
“Sepasukan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu membantu membawa jenazah berkenaan dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) ke tanah perkuburan berkenaan.
"Jenazah dibawa dengan sebuah lori sambil diiringi kenderaan konvoi serta sebuah Unit Peronda Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, jenazah wanita berusia 55 tahun yang mempunyai masalah obesiti itu tiba di tanah perkuburan berkenaan pada jam 2.52 petang.
“Seterusnya anggota bomba membantu menurunkan keranda ke dalam liang lahad dengan menggunakan jentolak dan pengebumian selesai pada jam 3.34 petang," katanya.
#jenazah #obes #wanita #pengebumian #180kg #bomba bantu #tanah perkuburan
;