Bomba bakal guna teknik pemadaman secara langsung tangani kebakaran hutan Sumatera

Bernama
Oktober 15, 2015 22:14 MYT
Buat masa ini, JBPM masih menunggu kebenaran dari Indonesia dan bersiap sedia untuk menghantar 1,200 anggotanya yang melibatkan 41 pasukan seluruh negara.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dijangka menggunakan lebih banyak kaedah pemadaman secara langsung sebagai satu daripada strategi untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di kawasan Sumatera Selatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Mohd Rizal Buang berkata pancutan air secara terus ke punca api sesuai untuk memadam kebakaran yang melibatkan rumput, lalang, belukar dan pokok-pokok renek.
Selain itu, JBPM juga berkemungkinan menggunakan teknik pemisah api, iaitu membina lorong-lorong dan parit dengan jentera berat untuk memisah kawasan terbakar dan tidak terbakar, kata beliau.
"Kami juga boleh menggunakan teknik membina 'trenching fireline' yang sesuai untuk lapisan tanah gambut yang tidak tebal dengan menggali dan membuat parit dengan membuang bahan organik yang mudah terbakar," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, dalam sidang media, Mohd Rizal berkata cabaran getir akan dihadapi anggota bomba dalam Operasi Jerebu Indonesia 2015 kerana berhadapan dengan kebakaran hutan yang melibatkan tanah gambut.
"Operasi kali ini akan lebih mencabar memandangkan bilangan hotspot yang dilaporkan lebih banyak dan berselerak.
"Cabaran masih sama kerana melibatkan tanah gambut, yang memerlukan air yang banyak untuk dipadamkan dan kebakaran tidak hanya di permukaan tapi juga di dalam tanah," kata Mohd Rizal.
Justeru, pasukan itu juga akan terdiri daripada pegawai yang berpengalaman dan pernah menyertai misi kebakaran hutan sebelum ini supaya dapat membantu melancarkan operasi, kata beliau.
Buat masa ini, JBPM masih menunggu kebenaran dari Indonesia dan bersiap sedia untuk menghantar 1,200 anggotanya yang melibatkan 41 pasukan seluruh negara.
Untuk negeri Johor sahaja, 125 anggota dan 40 pegawai kanan akan terlibat dalam operasi tersebut, kata Mohd Rizal.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JPBM #kebakaran #Sumatera Selatan
;