Bomba ambil masa 19 jam padam kebakaran di kilang kayu getah

Eleanor Michelle Patrick
Disember 14, 2021 23:28 MYT
Kebakaran yang berlaku di sebuah kilang penyimpanan kayu getah di Kampung Patikang Ulu memakan masa hampir 19 jam untuk dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba. - Foto JBPM
KENINGAU: Kebakaran yang berlaku di sebuah kilang penyimpanan kayu getah di Kampung Patikang Ulu memakan masa hampir 19 jam untuk dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba.
Kilang berkeluasan 1,728 meter persegi itu dilaporkan musnah sepenuhnya, selepas api dikatakan terlalu besar dan sukar dikawal dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.30 tengah malam itu.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 12.46 tengah malam.
Susulan laporan itu, beliau berkata, sepasukan 22 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Operasi turut mendapat bantuan seramai 15 anggota dan pegawai dari BBP Sook, BBP Tenom dan BBP Tambunan bersama dua jentera.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati turut membabitkan sebuah jentera excavator, empat jentera forklift, tiga jentera cutterpillar, 12 mesin multiblade dan sebuah lot cutter," katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Jelasnya, api kebakaran turut memusnahkan 450 pek asid borik seberat 25 kilogram setiap satu dan beberapa biji tayar simpanan jentera berat yang menyebabkan api terlalu sukar dikawal.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang hampir 200 meter dengan dua pancutan.
“Operasi pemadaman turut menggunakan satu aliran sepanjang lebih 150 meter dengan empat pancutan menggunakan sumber air dari jentera bomba dan air terbuka dari parit berhampiran.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan api kebakaran dilaporkan berjaya dikawal pada jam 2.40 pagi.
“Pasukan Bomba kemudiannya terus menjalankan operasi memadam api kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya lagi.
Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 7.35 malam tadi.
#kebakaran #kilang penyimpanan kayu getah #Keningau #Kampung Patikang Ulu #bomba #JBPM Sabah
;