Bomba akan dilatih untuk penyelamatan di empangan tembok rendah

Bernama
Februari 21, 2019 05:25 MYT
Zuraida berkata PBT juga akan membantu dalam usaha memasang papan tanda larangan masuk bagi mengelakkan orang awam daripada mencerobohi kawasan berisiko diklasifikasikan sebagai 'low head dam'. - Gambar fail
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dilatih dan dilengkapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu dalam melakukan tugas penyelamatan di lokasi membabitkan empangan tembok rendah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pasukan bomba sedia ada didapati tidak mempunyai asas latihan keselamatan tersebut berdasarkan laporan penuh siasatan yang dilakukan jawatankuasa bebas bagi mengenal pasti punca tragedi mengorbankan enam anggota JBPM di lombong Taman Putra Perdana, Puchong Oktober tahun lepas.
"Jadi latihan dalam melakukan penyelamatan 'low head dam' (empangan tembok rendah) memang belum ada latihan khusus untuk anggota bomba kita apabila mereka menyelamatkan mangsa di kawasan seperti yang berlaku tahun lalu.
"Kementerian kena pastikan terlebih dahulu berapa banyak jumlah lokasi 'low head dam' di dalam negara," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih di sini pada Khamis.
BACA: Pegawai bomba akan dihantar latihan menyelamat di air ke luar negara
Selain itu, bagi mengelakkan insiden tidak diingini di empangan seperti itu, Zuraida berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan membantu dalam usaha memasang papan tanda larangan masuk bagi mengelakkan orang awam daripada mencerobohi kawasan berisiko diklasifikasikan sebagai 'low head dam'.
Cadangan serta laporan siasatan itu bagaimanapun akan dibentangkan terlebih dahulu kepada kabinet, kata Zuraida.
Dalam kejadian 3 Okt tahun lepas, enam anggota bomba iaitu empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam, lemas ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, yang hilang di lombong tinggal di Taman Putra Perdana.
BACA: Tragedi pertama kehilangan enam anggota serentak dalam insiden operasi
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman berkata pihaknya telah mengadakan pemeriksaan di semua pusat pengundian dan pusat pengiraan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Katanya pemeriksaan mendapati kesemua 25 pusat pengundian serta sebuah pusat pengiraan undi diyakini mempunyai aspek keselamatan lengkap dalam menangani sebarang kemungkinan kebakaran.
Sehubungan itu, pihaknya menjamin kesemua pusat pengundian dan pengiraan undi adalah bebas daripada ancaman kebakaran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi, sementara pengundian awal 26 Feb ini.
--BERNAMA
#azmi osman #bomba #empangan #empangan tembok rendah #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #jawatankuasa bebas #JBPM #kabinet #keselamatan #low head dam #papan tanda larangan #pbt #PPDA #Puchong #Semenyih #SOP #Zuraida Kamaruddin
;