Bom seberat 125kg ditemukan di tapak pembinaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra

Bernama
Januari 29, 2024 21:44 MYT
Menurut polis, bom itu ditemukan pada 9.41 pagi ketika kerja-kerja penggalian longkang oleh pekerja di tapak pembinaan tersebut. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Bom seberat 125 kilogram yang ditemukan di tapak pembinaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, berjaya dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pada 3.20 petang ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata bom jenis Aerial dengan ukur lilit 82.2 sentimeter (cm) dan 98cm panjang itu ditemukan pada 9.41 pagi ketika kerja-kerja penggalian longkang oleh pekerja di tapak pembinaan tersebut.
"Kita terima laporan berkaitan penemuan satu objek menyerupai bom di tapak pembinaan berkenaan.
"Sepasukan anggota dari Unit Pemusnahan Bom telah pergi ke tempat kejadian dan mengesahkan bahawa objek itu merupakan satu unit bom," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bom tersebut berjaya dimusnahkan dan tiada sebarang kemalangan atau perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pemusnahan bom itu dilakukan.
-- BERNAMA
#Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra #Polis Daerah Kota Bharu #tapak pembinaan #bom jenis Aerial
;