Bom mortar ditemukan di tepi sungai

Bernama
Januari 3, 2022 05:00 MYT
Polis menerima maklumat mengenai penemuan bom berkenaan pada kira-kira pukul 4.55 petang. -Foto ihsan IPD Kota Bharu
KOTA BHARU: Sebutir bom mortar ditemukan sekumpulan kanak-kanak yang sedang mandi di tepi Sungai Gertak Kertitir di Pasir Tumboh, Kubang Kerian di sini, petang Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu Supt Mohd Suhaimi Ali berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bom berkenaan pada kira-kira pukul 4.55 petang.
"Bertindak atas maklumat sepasukan anggota Unit Pemusnahan Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bergegas ke kawasan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan objek yang ditemukan disahkan adalah 'mortar bomb practice inert' berwarna putih yang digunakan bagi tujuan latihan," katanya ketika dihubungi.
Mohd Suhaimi berkata bom mortar itu kemudiannya dibawa oleh UPB bagi tujuan permusnahan.
-- BERNAMA
#bom mortar #Kubang Kerian #Mohd Suhaimi Ali #Sungai Gertak Kertitir
;