Bom kereta Siti Kasim: 'Ini keganasan terhadap pembela hak asasi manusia' - Bersih

Hasimi Muhamad
Julai 24, 2023 18:25 MYT
Bersih berkata, bekas Pengerusinya, Maria Chin Abdullah juga pernah menerima ugutan dengan peluru dan darah sebelum ini - Foto fail
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam sekeras-kerasnya percubaan mengancam nyawa peguam dan aktivis Siti Kasim melalui pemasangan bahan letupan termampat (IED).
Walaupun belum dapat dipastikan sama ada ancaman berkenaan bersifat politik, jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, kes itu perlu diklasifikasikan sebagai ‘keganasan terhadap pembela hak asasi manusia dan golongan profesional’.
Dalam satu kenyataan, jawatankuasan itu menegaskan, kerajaan perlu menunjukkan sikap sifar toleransi terhadap percubaan bunuh Siti Kasim menggunakan bom, yang disifatkan keganasan yang boleh menyakiti orang lain.
"Sekiranya perkara ini menjadi satu trend, ia akan menyebabkan kemudaratan seperti penggunaan sentimen 3R (Agama, Kaum dan Institusi Diraja).
"(Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendirian yang jelas bahawa beliau akan mencantas percubaan ini daripada akarnya sebelum tindakan keganasan ini menjadi sebahagian daripada budaya politik masyarakat kita," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jawatankuasa itu menambah, Siti Kasim bukan mangsa pertama yang menjadi sasaran keganasan terhadap pembela hak asasi manusia dan golongan profesional di negara ini.
Mengambil contoh kes pembunuhan Setiausaha PKR Cabang Miri, Bill Kayong, Bersih mendakwa hanya pembunuh upahan terbabit yang dihukum mati, manakala tiga ahli perniagaan yang lain yang turut didakwa, termasuk seorang yang lari ke Australia masih bebas.
Selain itu, Bersih menambah bekas Pengerusinya, Maria Chin Abdullah juga pernah menerima ugutan dengan peluru dan darah.
"Kerajaan perlu memastikan bahawa Siti Kasim tidak mendapat nasib yang sama seperti Bill Kayong dan perlu menyediakan pengawal kepadanya, jika diminta.
"Kami memuji pihak polis yang menangani isu ini dengan serius tetapi perlakuan keganasan begini hanya boleh ditamatkan jika pelaku dan yang bersekongkol dengannya ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman," ujarnya.
Jawatankuasa itu berkata, menghentikan keganasan yang disasarkan kepada pembela hak asasi manusia dan golongan profesional adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk ahli politik, masyarakat sivil serta pemimpin pendapat.
Justeru, jawatankuasa itu menggesa media, badan profesional serta kumpulan masyarakat sivil untuk bersuara dan memantau respons Perdana Menteri, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pemimpin parti dan ahli politik agar dapat melihat suspek diheret ke muka pengadilan.
Sebelum ini, polis mengesyaki bom buatan sendiri yang ditemui di bahagian bawah kereta milik Siti Kasim adalah cubaan bunuh.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain yang berkaitan.
#Bersih #Siti Kasim #bom #cubaan bunuh
;