Bom Jakarta: Manifestasi pasca pimpinan Muhammad Wanndy - TPM

Harits Asyraf Hasnan
Mei 25, 2017 17:37 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata serangan militan Daish tidak pernah lenyap dan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana lokasi. --fotoBERNAMA
Insiden letupan bunuh diri di Jakarta Timur pada lewat Rabu malam adalah manifestasi gerakan militan Daish di wilayah Nusantara pasca pimpinan Muhammad Wanndy.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata serangan militan Daish tidak pernah lenyap dan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana lokasi.
"Apabila Muhammad Wanndy, salah seorang pemimpin (Daish) mati di Syria baru-baru ini, mereka (militan Daish) memperlihatkan bahawa tanpa Muhammad Wanndy, mereka boleh hidup serta ada ramai lagi jiwa Muhammad Wanndy dalam kalangan mereka. Bukan sahaja di Indonesia, bahkan di selatan Filipina, di selatan Thailand.
"Jangan pernah ambil mudah dalam soal keganasan, ia akan berlaku bila-bila dan di mana-mana. Jangan pernah ambil mudah. Kita harus berada dalam kesiapsiagaan sebab mereka akan mencari peluang untuk melakukan apa sahaja," katanya pada majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2016 di sini, hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, ancaman militan Daish tidak pernah membezakan sempadan negara walaupun terdapat perkhidmatan dan teknologi terkini seperti Pusat Serantau Digital Bagi memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC).
"Walaupun kita ada CMC dan pusat pemantauan di Kementerian Luar, namun meraka telah mewujudkan khatibah Nusantara, iaitu satu wilayah di kepulauan Melayu atau kepulauan Nusantara. Mereka mengetepikan batas dan sempadan politik.
"Mereka tidak ada sempadan Indonesia, Thailand, Malaysia, Brunei mahupun Singapore. Bagi mereka ini adalah satu khatibah atau wilayah Nusantara, di bawah satu kerajaan iaitu kerajaan mereka. Kita menetang mereka sebab kita tidak mahu mereka porak peranda dilakukan oleh mereka," tegas Ahmad Zahid.
Justeru katanya, Malaysia mahu keharmonian dalam kepelbagaian kaum yang bertentangan dengan iltizam Daish itu hanya mahu radikalisme, ekstremisme dan militan dalam Islam.
#berani mati #bom #daish #Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi #Jakarta #Kementerian Dalam Negeri #letupan #Muhammad Wanndy #Syria
;