Bom Bangkok: 4 mayat rakyat Malaysia dibawa pulang hari ini
Astro Awani
Ogos 19, 2015 14:50 MYT
Ogos 19, 2015 14:50 MYT
Mayat empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden pengeboman di Bangkok, Thailand akan dibawa pulang ke Pulau Pinang hari ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesemua mayat mangsa akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 10.20 malam.
Ia akan diterbangkan dengan Penerbangan Thai Airways TG 425 dari Lapangan terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.
Kesemua mayat dijangka dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk urusan pertukaran keranda.
Mayat Lee Tze Siang, Lee Jiang Xuan, Lim Saw Gek dan Neo Jai Jun akan dibawa ke kediaman mereka di Taman Cengal dan Taman Dedap untuk upacara penghormatan terakhir keluarga.
"Pada waktu sekarang, semua persiapan sudah dilakukan untuk membawa balik mayat ke Pulau Pinang, mutakhirnya kalau tiada halangan, semua berjalan lancar, malam ini akan sampai ke Pulau Pinang dan semua ahli keluarga sudah dimaklumkan," kata Reezal Merican.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu dengan ibu bapa mendiang Tze Siang di Kampung Selamat di sini pada Rabu.
Dalam pertemuan itu, Reezal Merican menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Tze Siang adalah anak kedua dari lima beradik meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia enam tahun.
Sementara itu, Reezal Merican juga mengingatkan rakyat Malaysia yang ingin ke Thailand ketika ini supaya berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia ke Thailand dan bilik gerakan insiden letupan untuk perkembangan semasa.
Dalam kejadian Isnin malam itu, empat sekeluarga dari Malaysia antara mangsa yang terkorban dalam insiden letupan di persimpangan Ratchaprasong berdekatan dengan Kuil Erawan dan pusat membeli-belah Bangkok.
Dua puluh orang terbunuh manakala lebih 100 orang cedera dalam kejadian itu.