'Bolehkah mereka ini hidup tanpa sebar fitnah?' - Ahmad Maslan
Madiha Abdullah
September 1, 2015 11:36 MYT
September 1, 2015 11:36 MYT
Nama Datuk Ahmad Maslan sekali lagi menjadi sebutan warga media sosial.
Semuanya selepas sebuah portal melaporkan satu kenyataan terbaharu yang didakwa dikeluarkan olehnya.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu didakwa mengeluarkan kenyataan meminta agar pelajar universiti di luar negara mencari pekerjaan agar dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi mereka.
Kenyataan itu disifatkan ramai sebagai tidak sepatutnya dikeluarkan memandangkan fokus utama seorang pelajar adalah mengejar ilmu dan tidak sepatutnya dibebankan dengan perkara lain seperti mencari wang.
Namun di akaun Twitternya hari ini, Ahmad Maslan menafikan pernah mengeluarkan kenyataan itu.
Tambah beliau, ia adalah satu bentuk fitnah terhadap dirinya.
"Bolehkah mereka ini hidup tanpa sebar fitnah?" tanya Ahmad di Twitter.
Portal berkenaan melaporkan kononnya kenyataan tersebut dikeluarkan Ahmad ketika menghadiri majlis International Branding Showcase di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), minggu lalu.