Boleh 'walk-in' vaksin di Sarawak bermula 23 Julai ini

Fadilah Sulaiman
Julai 21, 2021 11:35 MYT
Semua penerima vaksin adalah disarankan untuk mendapatkan tarikh janji temu 'walk-in' vaksinasi terlebih dahulu.
KUCHING: Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sarawak kini membenarkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri untuk melaksanakan pemberian vaksin secara 'walk-in' mulai 23 Julai hingga 5 Ogos 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemberian vaksin secara 'walk-in' itu melibatkan individu yang belum menerima janji temu vaksinasi dos pertama selain diminta menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) masing-masing.
"Semua penerima vaksin adalah disarankan untuk mendapatkan tarikh janji temu 'walk-in' vaksinasi terlebih dahulu.
"Pihak CITF Sarawak juga ingin menekankan kepentingan untuk mendapatkan dos vaksinasi yang lengkap mengikut jenis dan jarak masa yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan laporan harian COVID-19 pada Rabu.
Sementara itu, Sarawak telah mencatatkan 261 kes positif COVID-19 hari ini yang mana 106 daripadanya dikesan di daerah Kuching menjadikan jumlah keseluruhan 72,213 kes.
Tiga kluster baharu juga telah diisytihar melibatkan kluster tempat kerja di sebuah syarikat pengangkutan komersial iaitu Kluster Jalan Demak Laut, Kuching. Manakala dua lagi kluster komuniti membabitkan penduduk kampung dan rumah panjang iaitu Kluster Balai Ringin Melayu, Serian dan Kluster Sungai Sebatu, Meradong.
Untuk rekod, setakat Selasa seramai lebih 1.5 juta individu di Sarawak menerima vaksin dos pertama manakala 967,201 individu telah melengkapi dua suntikan vaksin.
#CITF Sarawak #Walk-in vaksin #Douglas Uggah Embas #JPBN Sarawak #Sarawak #Kuching