Boleh 'walk in' di PPV untuk terima vaksin selepas pukul 1 petang - JPBD Labuan

Astro Awani
Jun 24, 2021 15:56 MYT
Setiap hari, seramai lebih dari 1,000 individu dari beberapa buah kampung menerima vaksin sejak PPV KML mula beroperasi pada 17 Jun lalu. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Penduduk yang tinggal di Labuan yang belum mendaftar vaksin menerusi aplikasi MySejahtera masih boleh menerima suntikan itu.
Pengerusi JPBD Labuan, Rithuan Ismail berkata, mereka boleh memberikan nama dan nombor kad pengenalan kepada ketua kampung atau Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) atau pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran secara 'walk in'.
Bagaimanapun katanya, bagi kaedah 'walk in' mereka boleh datang ke PPV berhampiran selepas pukul 1 petang.
"Bagi yang 'walk in' ini, ia bergantung kepada baki vaksin yang ada. Sekiranya mereka datang dan bekalan vaksin habis, mereka akan diberikan kupon serta diminta datang semula pada keesokan harinya.
"Namun, tidak perlu risau, tempoh menunggu tidak lama dan keesokan harinya pasti ada bekalan untuk suntikan vaksin.
"Ini kerana kita memberi keutamaan dahulu kepada mereka yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dan melalui ketua kampung atau MPP," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Rithuan, imuniti kelompok tidak hanya meliputi warga Labuan tetapi temasuk warga asing yang tinggal di Labuan.
Justeru katanya, pemberian vaksin kepada warga asing tidak perlu dijadikan isu.
"Apabila kita sebut pasal imuniti kelompok, ia bukan hanya untuk warga Labuan sahaja tetapi melihat kepada keseluruhan penduduk yang tinggal di Labuan.
"Ini termasuk kepada mereka (warga asing) yang bekerja dengan sektor perkapalan, minyak dan gas, kewangan antarabangsa. Jadi kita mahu mencapai imuniti kelompok dan perlu memvaksinkan 80 peratus penduduk Labuan," katanya.
Setakat 23 Jun ini, 13,946 individu di Labuan sudah melengkapi dua dos vaksin manakala 37,683 individu menerima satu dos.
#Vaksin Labuan #Vaksinasi Labuan #Rithuan Ismail #JPBD Labuan #COVID-19 #imuniti kelompok
;