Boleh nikah di masjid negeri PKP dengan 20 tetamu

Astro Awani
Februari 18, 2021 11:27 MYT
Seramai 20 tetamu tidak termasuk jurunikah dan saksi dibenarkan untuk majlis akad nikah di masjid. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan majlis akad nikah di negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan di masjid.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu juga sekali gus membolehkan majlis akad nikah diadakan bukan hanya di pejabat agama seperti yang dibenarkan sebelum ini.
Ismail Sabri juga memaklumkan seramai 20 tetamu tidak termasuk jurunikah dan saksi dibenarkan untuk majlis terbabit di masjid.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) pula, had maksimum jumlah kehadiran upacara akad nikah dibenarkan sebanyak 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan fizikal satu meter.
"Bagi kawasan PKPP pula, upacara pernikahan dibenarkan mengikut keluasan premis dengan penjarakan fizikal sejauh satu meter," katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini pada Khamis.
Ismail Sabri berkata, bagi upacara pernikahan dan majlis resepsi bukan Islam pula, ia akan diumumkan oleh Kementerian Perpaduan Negara.
Perkembangan SOP majlis akad nikah
#nikah #masjid #pejabat agama #20 tetamu #jurunikah #saksi #ismail sabri yaakob #PKP #PKPB #PKPP