Boleh guna kad debit, kredit di semua kaunter khidmat pelanggan - Rapid Rail
Afiezy Azaman
Mei 1, 2024 10:00 MYT
Mei 1, 2024 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengguna perkhidmatan pengangkutan awam rel kini boleh menggunakan kad debit atau kredit di semua kaunter khidmat pelanggan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), bermula Selasa.
Pengguna LRT, MRT, Monorel dan BRT kini mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan kad debit atau kredit bagi transaksi membeli token, menambah nilai kad Touch ‘n Go dan melanggan pas perjalanan My50 atau MyCity.
Rapid Rail berkata, mod pembayaran baharu ini turut tersedia untuk Kaunter Pendaftaran Kad Konsesi Rapid KL di Hab Pasar Seni dan Stesen MRT Conlay.
"Ia adalah platform tambahan dari pembayaran sedia ada di kaunter stesen iaitu secara tunai dan melalui kod QR. Pembelian token juga masih boleh dilakukan di mesin tiket stesen.
"Kaedah pembayaran baharu ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan meningkatkan kecekapan proses pembelian untuk pengguna Rapid KL.
"Dengan pilihan pembayaran baharu ini, pengguna tidak perlu risau untuk membawa wang tunai atau mencari mesin bank (ATM) kerana ia dapat memberi transaksi yang lebih selamat dan lancar," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Rapid Rail berkata, pengenalan mod pembayaran baharu ini sejajar dengan komitmen untuk sentiasa menambahbaik sistem pembelian yang sedia ada dan memenuhi keperluan pengguna kerana ia dapat memberi pengalaman positif kepada penumpang ketika menggunakan perkhidmatan Rapid KL.
Rapid Rail juga turut menggalakkan pengguna untuk memanfaatkan sepenuhnya mod pembayaran baharu ini supaya dapat merasai kemudahan baru yang ditawarkan ini.