Boleh berhujah tapi jangan korbankan keadilan - Tengku Maimun

Bernama
September 6, 2024 21:48 MYT
Tengku Maimun berkata setiap pengamal undang-undang mempunyai etika yang tinggi kepada mahkamah, anak guam mereka dan orang ramai. - Gambar fail
SHAH ALAM: Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini mengingatkan peguam supaya menjaga tatakelakuan dan tidak mencemarkan sistem keadilan untuk mencapai matlamat.
Beliau berkata keunikan dan kelemahan profesion ini adalah fakta dan undang-undang yang sentiasa terbuka kepada tafsiran sekali gus menjadikan advokasi sebagai alat untuk menutupi ruang-ruang kecil yang memihak kepada keputusan yang adil dan koheren dari segi undang-undang.
Dalam hal ini, Tengku Maimun berkata setiap pengamal undang-undang mempunyai etika yang tinggi kepada mahkamah, anak guam mereka dan orang ramai, oleh itu usaha yang diambil untuk memenangi sesuatu kes sehingga menjejaskan undang-undang boleh menyebabkan keputusan yang berbahaya kepada kemajuan undang-undang.
"Memadai untuk saya katakan bahawa perkara paling penting ialah tugas peguam bela kepada mahkamah. Pada pendapat saya jika seorang peguam bela melaksanakan tugas-tugas ini sebagai keutamaan mereka, tugas mereka kepada anak guam dan orang ramai biasanya akan dipenuhi.
"Ini bermakna menggendalikan kes dengan pemahaman undang-undang yang betul, tiada niat mengelirukan mahkamah dengan cadangan yang ditolak dan mendedahkan sepenuhnya fakta yang berkaitan termasuk fakta yang tidak menguntungkan anak guamnya," katanya dalam ucapan perasmian pada Persidangan Undang-Undang Peguam Selangor 2024 di sini hari ini.
Beliau turut menyebut dua kes iaitu Ang Ming Lee dan CCH sebagai cabaran perlembagaan oleh seorang kanak-kanak yang dinafikan hak kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara untuk menunjukkan penamat yang mengejutkan bagaimana peguam bela boleh menamatkan sesuatu kes.
"Kes terdahulu (Ang Ming Lee) menunjukkan kemenangan dalaman bagi pihak yang terlibat tetapi keputusan itu menjejaskan keseluruhan industri. Mungkin ini boleh diatasi jika pihak-pihak berfikir untuk membimbing mahkamah mengenai doktrin pembatalan prospektif. Kes itu adalah contoh 'rabun' dalam advokasi dan tugas peguam bela.
"Sebaliknya berlaku dalam satu lagi kes. Di sini, keadilan untuk pihak yang terlibat nampaknya telah terlepas. Selepas segala-galanya, seperti yang dinyatakan dalam CCH, hak kewarganegaraan sangat terkait rapat dengan hak untuk hidup dan kebebasan peribadi. Dalam litigasi awam, 'kes ujian' adalah perkara biasa dan selalunya dialu-alukan tetapi seseorang tidak boleh mengorbankan pihak yang terlibat untuk kebaikan yang lebih besar," katanya.
Tengku Maimun turut mengulangi nasihatnya kepada semua pengamal undang-undang untuk mempertimbangkan semua aspek kes dalam melaksanakan tugas mereka kepada mahkamah dan anak guam untuk advokasi yang berkesan sekali gus membolehkan mahkamah memberikan keadilan sepenuhnya.
-- BERNAMA
#peguam #tatakelakuan #sistem keadilan #profesion guaman #Tengku Maimun Tuan Mat
;