Boleh bergerak lebih 10 km, namun rentas negeri dan daerah tetap tidak dibenarkan

Astro Awani
Februari 16, 2021 18:22 MYT
Kerajaan membuat keputusan membenarkan pergerakan lebih 10 km selepas banyak aktiviti perniagaan diberikan kebenaran untuk beroperasi di seluruh negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pergerakan melebihi radius 10 kilometer dari lokasi namun mengekalkan larangan rentas daerah dan negeri, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Ismail Sabri, pergerakan lebih 10 km dibenarkan di semua negeri yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Beliau berkata, kerajaan membuat keputusan tersebut selepas banyak aktiviti perniagaan diberikan kebenaran untuk beroperasi di seluruh negara.
"Selepas mengambil kita keputusan kerajaan sebelum ini yang membenarkan banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi, adalah tidak relevan untuk kita terus melarang mana-mana pihak bergerak dalam radius 10 km.
"Bagaimanapun, larangan merentas daerah dan negeri setakat ini masih lagi dikekalkan di semua negeri," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKP pada Selasa.
Rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan lagi
#perintah kawalan pergerakan #PKP #10km #pergerakan rentas negeri #rentas daerah
;