Boleh ambil bekas pesakit mental bekerja tapi bersyarat - majikan

Rahimah Abdullah
Oktober 15, 2015 23:06 MYT
Menurut MEF, majikan masih boleh menerima mereka bekerja, dengan syarat bekas pesakit mental itu ditempatkan di kawasan yang berisiko rendah.
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengakui pengambilan bekas pesakit mental sebagai pekerja mengundang risiko dan cabaran yang besar kepada sesetengah majikan.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan bagaimanapun menjelaskan, majikan masih boleh menerima mereka bekerja, dengan syarat bekas pesakit mental itu ditempatkan di kawasan yang berisiko rendah.
"Itu cabaran besar kepada mana-mana majikan yang ambil bekas pesakit mental untuk bekerja dengan mereka tetapi yang penting adalah kita tahu bahawa penyakit mental itu boleh dirawat dan boleh dikawal dan jika majikan mampu sebenarnya pantau keadaan ini di tempat kerja, tidak ada sebab kenapa bekas pesakit mental ini diambil bekerja sebenarnya," katanya semasa dihubungi di Astro AWANI di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, tidak ada sebab mengapa pesakit mental tidak diambil bekerja jika majikan berkenaan mampu melakukan pemantuan semasa di tempat kerja.
"Dengan adanya pengesahan perubatan, mana-mana majikan ada keberanian dan keinginan untuk ambil bekerja. Namun, ia juga bergantung kepada bekas pesakit mental itu sama ada mereka mahu mengambil ubat berjadual serta mengikut panduan diberikan pegawai perubatan berkenaan.
"Ini penting kerana kalau mereka gagal mematuhi jadual ditetapkan doktor ia akan menimbulkan risiko kepada majikan dan rakan sekerja lain," jelas beliau.
Tambahnya, faktor keselamatan majikan dan pekerja-pekerja lain menyebabkan mereka sepatutnya ditempatkan di kawasan kerja berisiko rendah.
"Kalau seseorang itu bekas pesakit mental mereka tidak seharusnya diletakkan di tempat kerja risiko tinggi seperti di sektor pembuatan dan perhotelan sebab kita tahu ada senjata tajam sebaliknya mereka ini lebih sesuai ditempatkan di mana-mana kawasan yang tidak ada risiko yang tinggi," ujarnya.
Pada masa sama katanya, doktor yang merawat bekas pesakit mental perlu kerap melakukan pemeriksaan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Sebelum ini, sebuah badan bukan kerajaan, Yayasan Kesihatan Mental Malaysia menggesa majikan bersikap terbuka dan sedia menerima bekas pesakit mental sebagai pekerja mereka .
Ia berikutan stigma majikan yang takut untuk menggaji golongan ini sehingga menutup peluang mereka mendapatkan pekerjaan seperti insan lain.
#MEF #Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia #pesakit mental #Shamsuddin Bardan
;