Bola sepak tempatan lalui evolusi besar di bawah teraju Almarhum Sultan Ahmad Shah - FAM
Astro Awani
Mei 22, 2019 12:57 MYT
Mei 22, 2019 12:57 MYT
Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah meninggalkan impak cukup besar sepanjang pembabitan Baginda dalam sukan bola sepak.
Baginda ialah Presiden FAM yang paling lama berkhidmat, menggantikan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 1984.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasminya berkata di bawah teraju Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, pertandingan bola sepak tempatan melalui satu evolusi pesat.
Evolusi bola sepak tempatan di bawah teraju Baginda bermula dengan liga semi-pro yang diperkenalkan pada 1989 sebelum menjadi profesional pada 1996 dan ditransformasikan kepada Liga Super pada 2004.
"Dalam tempoh tiga dekad itu juga, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menjadi saksi kepada beberapa kejayaan skuad negara, termasuk pingat emas Sukan SEA 1989, Pestabola Merdeka 1993, emas Sukan SEA 2009 dan 2011, serta kemenangan Piala Suzuki AFF pada 2010.
"Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga memastikan Malaysia disegani di mata dunia dengan mendapat penghormatan menjadi tuan rumah Piala Dunia Belia FIFA pada 1997," kata kenyataan tersebut.
Sebelum itu, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Pada 2014, Almarhum memberi laluan kepada anakanda Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mengambil alih jawatan Presiden FAM.
Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menerajui Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 1994 hingga 2002 dan antara tokoh yang menuntut penambahan kuota untuk benua Asia dalam saingan Piala Dunia FIFA pada 2002, susulan krisis pada 1999 apabila delegasi AFC memulaukan mesyuarat Kongres FIFA di Los Angeles.
Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga menjadi Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dari 2011 hingga 2019, dengan kejayaan menjadikan Piala Suzuki AFF sebagai aset terbesar persekutuan itu.
Almarhum tidak dicalonkan semula pada Kongres AFF di Siem Reap Mac lalu disebabkan kesihatan Baginda yang tidak mengizinkan.
Baginda mangkat kira-kira jam 8.50 pagi Rabu di Institut Jantung Negara (IJN), di sini.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
#Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al Mustafa Billah Shah
#Almarhum Paduka Ayahanda
#Hamzah Abu Samah
#Presiden FAM
#Sultan Ahmad Shah
#sultan pahang mangkat