Boikot peniaga tamak, tindakan bijak yang perlu dilakukan pengguna - Ismail Sabri
Bernama
Februari 5, 2015 09:23 MYT
Februari 5, 2015 09:23 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenyataannya berhubung isu boikot peniaga tamak yang menjadi viral di laman sosial sejak Isnin lepas, bukan satu arahan tetapi satu tindakan bijak perlu dilakukan setiap pengguna.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata setiap pengguna perlu bijak berfikir dan bertindak kerana mereka mempunyai kuasa beli sepenuhnya, malah mereka adalah suara majoriti dalam urusan perdagangan antara pembeli dan peniaga.
"Tindakan boikot mesti datang daripada pengguna kerana mereka berkuasa dalam menentukan naik turun harga barang, tetapi saya lihat di media sosial, mereka cakap semua ini tanggungjawab kerajaan semata-mata.
"Sebab itu, saya beri penerangan kepada rakan-rakan saya di Facebook bahawa tanggungjawab itu terletak di tangan mereka sebab mereka majoriti sedangkan peniaga hanya minoriti.
"Bagaimana minoriti boleh manipulasi majoriti? Sudah tentu tidak boleh," katanya pada program Dialog terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV1, malam Rabu.
Program bertemakan 'Jihad Memerangi Orang Tengah' itu dihoskan Shuhami Mohamed.
Ismail Sabri berkata beliau tidak menyangka kenyataannya dalam interaksi beliau dengan seorang rakan di laman sosial Facebook telah mencetuskan pelbagai polemik.
"Empat tahun saya berada di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebelum ini, dan banyak kempen kesedaran yang kementerian berkenaan lakukan, tetapi mungkin pada masa itu pengguna tidak nampak keperluan untuk bertindak (boikot)," katanya.
Mengenai jihad memerangi orang tengah dalam sektor pertanian dan perikanan, Ismail Sabri berkata pada tahun ini, kementeriannya akan menumpukan kepada aspek mendidik golongan petani dan nelayan supaya kesedaran memerangi orang tengah dapat ditingkatkan.
Sebagai contoh, Ismail Sabri berkata agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) akan turun padang bertemu dengan petani dan nelayan untuk sesi penerangan supaya pemahaman mereka mengenai orang tengah akan lebih mendalam.
Setiap agensi di bawah kementerian bersama-sama persatuan nelayan dan petani juga perlu memainkan peranan masing-masing serta bekerjasama dalam memerangi orang tengah yang selama ini banyak menindas golongan nelayan dan petani dengan mengaut keuntungan berlipat ganda, katanya lagi.