Boikot luar batasan menimbulkan fitnah, cemar imej Islam - PPIM
Astro Awani
Ogos 11, 2014 08:13 MYT
Ogos 11, 2014 08:13 MYT
Boikot adalah hak pengguna untuk melindungi serta membela kebajikan diri dan masyarakat daripada tindakan tidak adil.
Namun, tindakan sesetengah pihak yang keterlaluan mencalarkan usaha murni untuk memboikot produk atau perkhidmatan sebagai tanda protes terhadap kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.
Ia termasuk menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam yang sama sekali bertentangan dengan prinsip asal usaha berkenaan.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Makmor Othman, tindakan memboikot yang disertakan dengan cacian, makian, merosakkan harta benda awam dan mengganggu ketenteraman awam tidak dibenarkan sama sekali oleh agama.
Boikot ke atas produk atau perkhidmatan yang melibatkan penyaluran dana kepada Israel bukan perkara baru.
Langkah itu dibuat bagi menunjukkan protes terhadap rejim Zionis yang secara berterusan menindas penduduk Palestin dan membunuh orang awam terutama kanak-kanak yang tidak bersalah.
Pada 5 Ogos lalu, sekumpulan penduduk di Dungun, Terengganu melakukan demonstrasi memboikot Israel di hadapan restoran makanan segera McDonald’s di daerah itu.
Mereka dikatakan turut mengganggu premis restoran makanan segera itu serta menggoncang pintu masuknya, sekali gus mengancam keselamatan pekerja dan pelanggan yang berada di dalam premis berkenaan.
Tindakan itu dikecam banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aqsa Syarif yang memohon orang ramai yang menyokong kempen boikot barangan Israel supaya mengawal diri dan tidak melanggar batasan dalam menjayakan kempen tersebut.
Selain itu, video yang semakin 'viral' ini turut disifatkan sebagai langkah memboikot yang keterlaluan. Ia menunjukkan beberapa anak muda mengeluarkan kata-kata kesat kepada pekerja di sebuah cawangan McDonald’s di kiosk pandu lalu restoran makanan segera itu.
Gambar dan video itu hanya sebahagian kecil tindakan boikot keterlaluan oleh sesetengah individu. Namun, ia terserah kepada individu itu sendiri untuk menilai dan memikirkan apakah matlamat sebenar yang perlu dicapai.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui turut tidak bersetuju dengan tindakan keterlaluan yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.