Boikot barang bukan bumiputera: Makroekonomi tidak terkesan - Penganalisis

Nursyazwani Saiful Sham
September 4, 2019 20:40 MYT
Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Yusof Saari, ini kerana boikot sedemikian tidak akan mengurangkan permintaan untuk sesatu kategori barangan secara keseluruhannya.
Boikot terhadap barangan keluaran syarikat bukan bumiputera tidak akan memberikan kesan kepada ekonomi makro.
Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Yusof Saari, ini kerana boikot seperti itu tidak akan mengurangkan permintaan untuk sesuatu kategori barangan secara keseluruhannya.
“Dari segi ekonomi makro, ia tidak beri kesan. Sebabnya mudah, kita bukan menghentikan pembelian sesuatu barangan itu. Kita tetap meneruskan perbelanjaan cuma diarahkan kepada jenama lain tetapi barangan sama.
“Selagi masyarakat masih berbelanja, tiada kesan yang signifikan apabila kempen itu dilakukan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Kempen boikot produk boleh timbul isu antara kaum - Anwar
BACA: Tiada boikot, mengapa Menteri Kewangan cepat gelabah? - Reezal Merican
Jelasnya, ia hanya akan memberi impak jika pengguna memboikot suatu kategori barang secara keseluruhannya, tanpa mengira jenama.
Beliau bagaimanapun berkata, kempen ini berupaya meningkatkan jualan barangan keluaran bumiputera.
“Jika kita melihat dari sudut positif, akan berlaku persaingan sihat dan keluaran bumiputera akan lebih menyerlah.
“Ia juga berlandaskan agenda pembangunan yang termaktub dalam dasar ekonomi baru yang mahu memperkasakan bumiputera. Mereka perlu meningkatkan produktiviti mereka agar kekal releven dan bersaing secara kompetitif dalam pasaran.
“Kita tidak tahu berapa lama boikot ini akan berlangsung, tetapi apa yang pasti rakyat tidak kira bangsa pasti akan memilih barangan yang menepati piawaian harga berpatutan,” jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata tindakan memboikot terbabit tidak sepatutnya berlaku dan tidak akan memberi kesan sebaliknya hanya menimbulkan kemarahan.
BACA: Orang cetek fikiran saja mahu boikot produk bukan Islam - Tun Mahathir
Baru-baru ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah melancarkan kempen mengutamakan pembelian produk Islam, di samping menggesa masyarakat Melayu Islam untuk memboikot barang buatan bukan Islam.
#boikot #Bumiputera #pengeluar tempatan #Prof Madya Dr Yusof Saari #UPM
;