Boikot agak keterlaluan, pengguna harus bijak memilih - Presma

Israr Khalid
Januari 27, 2023 12:46 MYT
JAWAHAR: 'Pengguna harus lebih bijak guna hak untuk memilih premis mana yang berpatutan.'
KUALA LUMPUR: Tidak perlu sampai boikot tetapi pengguna harus lebih bijak menggunakan hak untuk memilih kedai mana yang sesuai dengan kemampuan dan kehendak masing-masing.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, kenaikan harga barang tidak dapat dielak atas pelbagai faktor antaranya penggajian pekerja, sewa premis, kadar tukaran mata wang di samping gangguan rantaian bekalan global.
“Mungkin ayat ‘boikot’ itu agak keterlaluan, sebenarnya kita sebagai pengguna perlu menggunakan hak kita untuk memilih premis yang menjual dengan harga berpatutan.
“Ia seolah-olah menafikan hakikatnya memang berlaku kenaikan harga barang kalau dibanding dengan waktu sebelum pandemik COVID-19,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Katanya, peniaga juga tersepit antara keperluan untuk memuaskan hati pelanggan dengan memastikan kebajikan pekerja mereka terbela dengan bermaruah.
Tidak adil katanya untuk mengekalkan harga makanan siap masak pada paras lama apabila harga bahan mentah meningkat pada masa sama gaji minimum ditingkatkan.
“Kalau ada tukang masak yang gajinya RM3,000 misalnya, mereka juga mengharapkan gaji mereka dinaikkan.”
Begitupun, beliau menegaskan supaya pengguna bukan sahaja bijak memilih malah juga melaporkan kepada pihak berkuasa seandainya mendapati ada premis yang menjual pada harga yang melampau.
Boikot agak keterlaluan, pengguna harus bijak memilih - PRESMA
#Dialog Tiga Penjuru #Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia #Presma #kenaikan harga barang
;