Bobcatz mahu bukti masyarakat India mampu 'berkung fu' dalam tarian singa
Hasimi Muhamad
Januari 21, 2023 14:00 MYT
Januari 21, 2023 14:00 MYT
SETIAP kali tiba perayaan Tahun Baharu Cina, aksi 'singa' menari dan melompat lincah antara yang paling dinantikan.
Diiiringi dengan paluan dram dan dentuman gong, tarian tradisional kaum Cina ini akan menaikkan semangat kepada sesiapa sahaja yang menontonnya.
Seiring dengan peredaran zaman, tarian singa atau wu shi dalam bahasa Mandarin kini mula menarik minat pelbagai bangsa untuk mendalaminya.
Meskipun tarian singa sinonim dengan masyarakat Cina, tetapi bagi Kumpulan Bobcatz, mereka juga mahu masyarakat India menyelami warisan tersebut.
Ditubuhkan pada 2001, kumpulan ini kini dianggotai 18 ahli yang berusia antara 14 dan 51 tahun.
Dipimpin oleh Vengadesa Perumal Jairaman, 51, dan Kumaresan Mukiah, 45, Bobcatz melatih remaja-remaja India di sekitar Taman Medan, Petaling Jaya dengan tarian singa selatan.
Vengadesa yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang tarian berkata, keunikan tarian singa kerana ia menggabungkan pergerakan kung fu.
Elemen kung fu akan menyerlahkan lagi ekspresi dan kekuatan yang diterapkan dalam tarian singa.
"Dulu saya belajar di Malaysia Airlines Club, kena belajar asas kung fu dan selepas itu kita belajar alat, dan dari situ kita bermula pergerakan kung fu dan belajar bagaimana untuk menari.
"Cabarannya kita tak boleh campur antara tarian India dengan tarian singa. Tarian singa ini banyak beza, macam ini kita belajar kung fu. Daripada kung fu itu kita akan tunjuk (gerakan atau tarian)," katanya kepada Astro AWANI.
Difahamkan, tarian singa bermula lebih 1,000 tahun lalu, dan paling popular ialah tarian singa utara dan tarian singa selatan.
Tarian singa utara berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja dan mempunyai lebih banyak pergerakan akrobatik.
Manakala, tarian singa selatan pula menjadi lambang yang mempunyai ciri-ciri berkaitan alam sekitar dan menggunakan pelbagai warna.
Bercerita lanjut, Vengadesa berkata dua instrumen utama yang digunakan oleh kumpulan itu ialah 'cha-cha' dan gong.
Selain menghargai kebudayaan, Vengadesa menambah tarian singa mengajar penari-penari untuk berdisiplin dan melahirkan semangat kerjasama.
Sejak lebih dua dekad aktif, Kumpulan Bobcatz telah menerima pelbagai undangan persembahan dari dalam dan luar negara termasuk di Singapura, Maldives dan Bahrain.
"Sekarang ini kita sedang buat latihan, lagi setahun atau dua tahun kita akan sertai pertandingan seperti Genting (World Lion Dance Championship) dan pertandingan di luar negara banyak tetapi kita kena ada sumber kewangan," ujarnya lagi.
Sementara itu, Pujjaashree Komagan, 18, dan Sangjai Vengadesa Perumal, 16, antara individu yang memainkan peranan penting dalam tarian tersebut.
Dua anak muda ini berkebolehan bermain alat muzik 'cha cha' dan gong, serta berada di posisi hadapan dan belakang kostum singa.
"Tarian ini seronok dan banyak cabaran, kerana tarian singa bukan tarian tradisional India. Jadi bila sanggup nak belajar ia memang mencabar.
"Ibu bapa saya memang memberikan sokongan dan setiap hari hantar (latihan) dan beli kostum," kata Pujjaashree.
Perkara sama turut dikongsi oleh Sangjai, yang menyifatkan tarian singa turut menarik minat rakan-rakannya untuk mempelajari kebudayaan itu.
"Sebenarnya banyak seronok lagi-lagi ada cabaran tetapi bila dah dapat belajar semua, wah (tarian) ini pun seronok juga.
"Ada beberapa rakan pun seronok tengok tarian ini dan ada yang berminat sertai," kata Sangjai.
Mengikut adat Cina, singa dianggap sebagai pelindung dan ia boleh melindungi penduduk kampung daripada serangan semangat jahat.
Tarian singa diwarisi di banyak negara seperti China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Vietnam.
Setiap negara mempunyai corak dan bentuk tarian yang berlainan.