BNM terus berhubung dengan pihak berkepentingan kemudi peralihan ekonomi bebas karbon

Bernama
April 2, 2023 12:30 MYT
BNM akan meneruskan libat urus dengan pihak berkepentingan utama bagi mengemudi peralihan ekonomi Malaysia ke arah masa hadapan bebas karbon. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneruskan libat urus dengan pihak berkepentingan utama bagi mengemudi peralihan ekonomi Malaysia ke arah masa hadapan bebas karbon.
Ini merangkumi penyertaan dalam platform antarabangsa seperti Rangkaian Untuk Menghijaukan Sistem Kewangan (NGFS) dan membina keupayaan bagi menganalisis kesan risiko iklim untuk bertindak lebih awal.
"Bagi mencapai pengurangan pelepasan karbon yang ketara, Malaysia perlu memulakan pelaksanaan adaptasi dan mitigasi perubahan iklim yang berskala besar dan rumit.
"Akibat kelewatan, pelaksanaan mungkin jauh lebih besar dengan implikasi yang berkekalan terhadap prospek pertumbuhan, keluaran potensi dan sumber mata pencarian di Malaysia," katanya.
Sekiranya perubahan iklim terus terjadi pada tahap semasa dan sasaran pelepasan tidak dicapai, ekonomi global menjelang 2050, akan kehilangan hampir 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Malaysia berhadapan dengan peningkatan risiko fizikal
BNM berkata Malaysia berhadapan dengan peningkatan risiko fizikal akibat banjir dan kenaikan paras laut yang memerlukan langkah-langkah penyesuaian segera.
Malaysia terdedah kepada risiko bencana alam yang didorong oleh peristiwa seperti banjir dan taufan, serta risiko kronik yang didorong oleh perubahan keadaan iklim jangka panjang khususnya kenaikan paras laut.
Pengurusan kesan buruk ini memerlukan langkah-langkah penyesuaian yang sesuai dengan keadaan tempatan.
Langkah-langkah ini termasuk pengurusan air hujan, pencegahan hakisan tanah, penghutanan semula serta pembinaan rumah dan infrastruktur yang berdaya tahan terhadap iklim.
Cabaran utama bagi mitigasi perubahan iklim di Malaysia
Antara cabaran utamanya ialah pergantungan yang tinggi pada arang batu untuk penjanaan kuasa, kecekapan tenaga yang rendah dalam ekonomi dan pergantungan keterlaluan terhadap bahan api fosil bagi mendapatkan hasil fiskal dan daya saing luaran.
Sebagai contoh Malaysia menggunakan lebih banyak arang batu pada masa ini berbanding dengan dua dekad yang lalu iaitu sebanyak 43.6 peratus daripada tenaga elektrik yang dijana pada 2021 dan in merupakan halangan utama ke arah peralihan rendah karbon yang berkekalan memandangkan arang batu ialah bahan api yang paling mencemarkan.
Selain itu, Malaysia juga turut memiliki mempunyai dasar iklim tidak bersepadu dan kurang meluas.
Tindakan iklim di Malaysia bermula pada 2009 dan telah berkembang pesat sejak 2020 namun Malaysia berada pada kedudukan rendah di tangga ke-54 di bawah kategori dasar iklim Indeks Prestasi Perubahan Cuaca 2023 berbanding dengan negara serantau.
Peranan pelaburan sebagai pemangkin peralihan rendah karbon
BNM berkata dunia perlu melabur secara besar-besaran dalam usaha adaptasi dan mitigasi perubahan iklim untuk memenuhi sasaran Perjanjian Paris.
Antara 2022 hingga 2050, lebih US$270 trilion diperlukan untuk penyahkarbonan ekonomi global, terutamanya bagi sektor pengangkutan, tenaga, pembangunan dan industri.
"Bagi Malaysia, dianggarkan RM350 bilion hingga RM450 bilion nilai pelaburan akan diperlukan dalam tempoh tiga dekad akan datang untuk mencapai sasaran pelepasan negara.
"Perbelanjaan modal yang besar ini bukan setakat menyokong peralihan yang teratur, malah membuka peluang baharu dalam ekonomi hijau," katanya.
Malaysia perlu meneroka peluang ekonomi sedia ada dan baharu serta menambah baik iklim pelaburan dan mekanisme pembiayaan untuk mendorong pelaburan hijau.
Kesimpulan
BNM berkata walaupun kerajaan menjadi peneraju dalam menetapkan agenda hijau, pelaksanaannya menjadi tanggungjawab kolektif semua pihak berkepentingan.
"Kepantasan, keluasan dan kesan penyahkarbonan terhadap ekonomi yang meluas akan menentukan tahap tindak balas dasar monetari seterusnya.
"Peralihan yang saksama dan teratur kepada ekonomi hijau akan membolehkan pertumbuhan dan pembangunan Malaysia menjadi lebih berdaya tahan, mampan serta inklusif, lantas menjamin masa hadapan yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #Rangkaian Untuk Menghijaukan Sistem Kewangan #masa hadapan bebas karbon #adaptasi dan mitigasi perubahan iklim
;