BNM: Persepsi jumlah bayaran balik pinjaman sewa beli tidak berubah adalah salah

Firdaus Azil
Mei 1, 2020 11:43 MYT
BNM berkata, kekeliruan itu mungkin disebabkan ilustrasi pengiraan dalam versi awal FAQ menggunakan beberapa andaian dan kaveat.
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menjelaskan bahawa tanggapan orang ramai tentang jumlah bayaran balik pinjaman sewa beli (HP) tidak boleh diubah adalah tidak benar.
Dalam satu kenyataan pagi ini, BNM berkata, salah tanggapan itu sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang yang mereka tunjukkan dalam versi awal soalan lazim (FAQ), menggunakan beberapa andaian dan kaveat.
“Kami kemudiannya mengeluarkan contoh pengiraan tersebut daripada FAQ ini apabila Institusi Kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka masing-masing. Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru (yang diambil kira) kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik.
“Peminjam/pelanggan yang akaun pinjaman Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap mereka menunjukkan penangguhan bayaran balik secara automatik sejak 1 April 2020, akan terus mendapat penangguhan itu sehingga 30 September 2020,” katanya lagi.
BNM berkata, ia kesal atas sebarang kekeliruan dan kebimbangan yang timbul ekoran pengumuman yang dibuat.
Jelasnya lagi, penangguhan bayaran balik pinjaman/pembiayaan sebenarnya bertujuan membantu aliran tunai peminjam/pelanggan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, dan tujuan itu masih tidak berubah.
“Peminjam/pelanggan dengan Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang pada mulanya menerima moratorium ini tetapi kemudiannya menukar fikiran (yakni tidak mahu penangguhan dan ingin membuat bayaran balik seperti biasa) masih boleh berbuat demikian,” jelasnya lagi.
Semalam, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam satu kenyataan berkata peminjam sewa beli diberikan dua pilihan.
Pertama membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan faedah tambahan.
Manakala bagi pilihan kedua, pengguna yang mengambil moratorium enam bulan boleh meneruskan pembayaran ansuran selepas Oktober 2020 dengan lanjutan enam bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang.
BACA: Pusingan U, kini bank kenakan faedah moratorium ke atas sewa beli
Sejurus selepas itu BNM kemudian membuat kenyataan susulan, mengesahkan peminjam bank tidak perlu memohon untuk mendapatkan moratorium dari pihak bank.
BNM dalam satu kenyataan berkata, pelanggan hanya perlu melengkapkan dokumentasi yang diperlukan untuk mengesahkan moratorium berkenaan.
“Kenyataan yang dikeluarkan BNM awal hari ini adalah bagi menyelesaikan isu prosedur untuk mewujudkan pengesahan perundangan moratorium mengikut Akta Sewa Beli 1967 dan tuntutan Syariah.
“Pelanggan akan dihubungi oleh pihak bank untuk penerangan prosedur yang betul,” kata BNM.
#bank #Bank Negara #Bank Negara Malaysia #COVID-19 #Moratorium #perintah kawalan pergerakan #PKP #rakyat
;