BNM perlu transformasi menyeluruh - SPCAAM

Astro Awani
April 2, 2023 15:30 MYT
Kegagalan menyiasat lima buah bank yang terbabit dengan sindiket antarabangsa memperlihatkan ketidakcekapan yang ketara di pihak BNM. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) harus memainkan peranan secara langsung bagi menyiasat bank, dan mendedahkan hasil siasatan kepada orang ramai.
Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, bank dan sistem kewangan secara keseluruhan adalah penjaga dana awam dan ini tidak boleh dipandang ringan.
Jelas SPCAAM, kegagalan membuat siasatan lanjut ke atas lima buah bank yang terbabit dengan sindiket antarabangsa jelas memperlihatkan ketidakcekapan yang ketara di pihak BNM, dan mencerminkan rasuah sistemik dan kurangnya tadbir urus yang betul di negara ini.
"Punca sindiket penipuan antarabangsa boleh menembusi sistem adalah disebabkan oleh pematuhan yang tidak cekap, pengurusan risiko, dan mekanisme kawalan bank terbabit.
"BNM harus memainkan peranan secara langsung bagi menyiasat bank, dan mendedahkan hasil siasatan kepada orang ramai.
"Akauntabiliti harus berada di peringkat tertinggi bank yang terlibat - di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif," kenyataan itu menyebut.
Katanya lagi, Perdana Menteri harus melantik pemimpin dan teknokrat untuk menerajui BNM, yang akan bertindak seiring dengan agenda reformasi dan tidak menghalang usaha ke arah pembanterasan ketidakcekapan tadbir urus dan rasuah.
#Bank Negara #sindiket #spcaam #Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia
;