BNM nafi pembayaran kad dibeku - KKMM

Harits Asyraf Hasnan
Mac 29, 2020 10:59 MYT
Orang ramai dinasihati untuk menyemak sebarang maklumat atau kenyataan yang diterima sebelum berkongsi maklumat tersebut. - Gambar hiasan
Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini mengeluarkan tiga penafian terhadap beberapa kenyataan yang tular di media sosial dan di aplikasi pesanan ringkas.
Ia termasuk melibatkan kenyataan kononnya orang ramai tidak dibenarkan membuat pembayaran melalui kad bagi perniagaan tidak penting (non-essentials).
“Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan dakwaan bahawa pembayaran melalui kad dibekukan bagi perniagaan non-essentials mulai 27 Mac, 2020 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.
Selain itu, Hospital Segamat, Johor turut menafikan dakwaan tentang penggunaan wad di hospital berkenaan bagi menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 walaupun telah diwartakan sebagai hospital saringan dan untuk pesakit bukan COVID-19.
Pada masa sama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga menafikan dakwaan posting berkaitan penjualan pakaian bundle milik pesakit yang telah meninggal dunia akibat COVID-19.
Orang ramai dinasihati menyemak sebarang maklumat atau kenyataan yang diterima sebelum berkongsi maklumat tersebut.
#Bank Negara #Bank Negara Malaysia #COVID-19 #Hospital #hospital saringan #Hospital Segamat #kad #keselamatan #maklumat palsu #meninggal dunia #pakaian bundle #pembayaran #pesakit
;