BNM kekal OPR pada 3.00 peratus
Fareez Azman
November 2, 2023 16:20 MYT
November 2, 2023 16:20 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media BNM pada Khamis.
"Pada mesyuarat hari ini, MPC BNM membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus.
"Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.
"MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," jelas BNM.
Mesyuarat MPC juga meluluskan jadual mesyuarat MPC bagi tahun 2024 selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Kata BNM, pernyataan Dasar Monetari akan diumumkan pada jam 3 petang hari terakhir setiap mesyuarat MPC.
BNM dalam pada itu turut berkata, Sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan namun perdagangan global terus lemah.
"Ekonomi global terus berkembang, didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.
"Sektor E&E mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan namun perdagangan global terus lemah, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan dan sekatan perdagangan yang berterusan," jelas BNM.
Tambah BNM, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi yang masih tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi dengan beberapa ekonomi utama mengalami momentum pertumbuhan semakin perlahan.
Pertumbuhan China juga jelas BNM menunjukkan beberapa tanda awal semakin baik meskipun pasaran harta tanah China terus lemah.
Inflasi keseluruhan global meningkat sedikit, di mana sebahagiannya disebabkan harga komiditi yang lebih tinggi, manakala inflasi teras terus sederhana.
"Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, disebabkan terutamanya oleh inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.
"Bagi ekonomi Malaysia, anggaran awal KDNK menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi bertambah baik pada suku ketiga. Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong terutamanya oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan sokongan daripada eksport E&E yang dijangka pulih.
"Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat," jelas BNM lagi.
BNM juga berpendapat langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi terutama melibatkan projek infrastruktur serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional.
Prospek pertumbuhan bagaimanapun jelas BNM terus bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yan berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi lebih besar dan berpanjangan.
"Pada suku ketiga, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 2.0% dan 2.5%. Menjelang tahun 2024, inflasi dijangka kekal sederhana.
"Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
"Yang penting, hasrat Kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada tahun 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan," ujar BNM lagi.