BNM, industri perbankan tambah baik pelaksanaan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar

Bernama
November 6, 2020 04:22 MYT
BNM turut menggesa peminjam yang menghadapi kesukaran untuk berhubung dengan bank masing-masing, AKPK atau BNMTELELINK untuk mengetahui pilihan yang tersedia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pihaknya telah bekerjasama dengan industri perbankan untuk menambah baik pelaksanaan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.
Katanya bagi peminjam M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional, yang pendapatan isi rumah mereka telah berkurangan akibat pandemik, bank-bank akan menerima permohonan mereka bagi mengurangkan bayaran ansuran bulanan.
"Permohonan ini akan berdasarkan pengisytiharan peminjam sendiri tentang pengurangan pendapatan mereka dan/atau pendapatan isi rumah mereka untuk mempercepatkan lagi pemberian bantuan.
"Bank-bank akan terus menghubungi para peminjam dalam kategori ini untuk mengkaji semula keadaan kewangan mereka," menurut BNM dalam kenyataan semalam.
Bantuan ini akan disediakan untuk kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada masa peminjam memohon bantuan bayaran balik.
"Peminjam B40 dan perusahaan mikro yang pernah menerima apa-apa bentuk bantuan bayaran balik bersasar yang lain, dan ingin memohon bantuan lanjutan di bawah langkah-langkah tambahan yang diumumkan pada hari ini, masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi bank mereka," menurut BNM.
Bantuan bayaran balik pinjaman bersasar akan terus tersedia untuk peminjam yang terjejas sepanjang tahun 2020 dan 2021.
Selain menghubungi bank, satu saluran tambahan akan disediakan untuk perusahaan mikro memohon bantuan bayaran balik pinjaman melalui pusat bantuan khas untuk perusahaan mikro di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bermula 9 November 2020 melalui www.akpk.org.my/microhelpdesk.
Pusat bantuan maya ini menyediakan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan memudahkan permohonan bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman.
BNM berkata bagi peminjam individu yang memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran mereka, amalan di seluruh institusi perbankan telah diperkemas untuk mengambil kira bukan hanya pendapatan peminjam tetapi juga pendapatan pasangan masing-masing yang turut terjejas akibat pandemik.
"Amalan ini telah pun dilakukan oleh kebanyakan bank dan kini telah dilaksanakan oleh semua bank bagi membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh dibuat terhadap keadaan kewangan peminjam.
"Penambahbaikan baharu ini berlandaskan usaha institusi perbankan yang sedia ada untuk memberikan bantuan yang lebih baik kepada peminjam yang menghadapi cabaran luar biasa ini," katanya.
BNM turut memberikan keyakinan kepada peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan akibat pandemik bahawa bantuan bayaran balik pinjaman akan terus tersedia untuk individu daripada semua kumpulan pendapatan dan semua saiz PKS yang memerlukan bantuan.
Bagi kebanyakan peminjam, bantuan yang disesuaikan dengan keadaan khusus masing-masing akan lebih membantu memenuhi keperluan mereka pada masa kini dan juga pada masa hadapan, katanya.
Meskipun pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19, penyambungan semula kegiatan ekonomi telah membolehkan banyak peminjam menyambung semula bayaran balik pinjaman mereka.
Katanya setakat ini, kira-kira 85 peratus peminjam telah mula membayar ansuran bulanan mereka.
"Bagi peminjam yang mampu berbuat demikian, tindakan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri kerana tindakan mengurangkan atau menangguhkan bayaran ansuran akan menyebabkan hutang keseluruhan menjadi lebih tinggi, yang akhirnya perlu ditanggung oleh peminjam pada masa hadapan.
"Pada masa sama, peminjam yang masih berhadapan dengan cabaran kewangan akan terus dibantu melalui bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.
"Bantuan ini seterusnya membolehkan mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi bergantung pada keperluan dan matlamat pengurusan kewangan mereka sendiri," menurut BNM.
BNM turut menggesa peminjam yang menghadapi kesukaran membuat bayaran balik pinjaman mereka untuk berhubung dengan bank masing-masing, AKPK atau BNMTELELINK untuk mengetahui pilihan yang tersedia bagi membantu mereka mengurus hutang masing-masing.
Bantuan bayaran balik tambahan ini akan disediakan untuk peminjam yang layak antara 23 Nov, 2020 dan 30 Jun, 2021.
Peminjam boleh menyatakan bantuan bayaran balik tersebut mulai 23 Nov, 2020 melalui talian khidmat pelanggan bank-bank, perbankan dalam talian atau dengan melawat cawangan bank.
"Industri perbankan akan memberikan butiran terkini mengenai penambahbaikan ini minggu depan," menurut BNM.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2021 #Bank Negara #BNM #bayaran balik pinjaman #bersasar #M40 #AKPK #Bantuan Prihatin Nasional #bantuan #bank #pinjaman #COVID-19
;