BNM arah ITO semak kenaikan caj premium perubatan agar harga lebih wajar
Khalis Khadir
November 28, 2024 22:06 MYT
November 28, 2024 22:06 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) diarah untuk menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan pada Khamis, ini termasuk menguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.
“ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian sesuai untuk pemegang polisi yang terkesan disebabkan peningkatan premium bagi terus mempunyai perlindungan insurans.
"ITO juga mesti memastikan pilihan yang diberikan adalah bermakna dan menyediakan langkah tambahan untuk menyokong pemilik polisi dan peserta takaful yang terjejas," katanya.
BNM menyatakan bahawa butiran lanjut mengenai pilihan yang tersedia akan diumumkan oleh industri insurans dan takaful tidak lama lagi.
Sejak kebelakangan ini, BNM mengakui kos penjagaan kesihatan meningkat dengan ketara berikutan inflasi kos perubatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan serta prosedur perubatan.
Media sebelum ini melaporkan, premium insurans perubatan dijangka meningkat sehingga 70 peratus tahun depan, menyebabkan sesetengah pemegang polisi tiada pilihan selain mempertimbang menamatkan polisi mereka kerana peningkatan kos bulanan premium.
Sementara itu, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia dalam kenyataan bersama menyatakan penetapan harga semula premium adalah langkah yang tidak dapat dielak.
Katanya, industri insurans dan takaful Malaysia menyaksikan kadar inflasi kos tuntutan perubatan kumulatif yang tidak pernah terjadi sebelum ini sebanyak 56 peratus dari 2021 hingga 2023 disebabkan peningkatan kos rawatan perubatan dan kemajuan teknologi kesihatan.
"Selain inflasi, kuantum penetapan harga semula juga dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti penilaian risiko individu, pengumpulan risiko, faedah dan ciri produk serta bayaran tuntutan yang dijangka.
"Walaupun syarikat insurans dan pengendali takaful mempunyai kitaran penetapan harga semula yang berbeza, mereka biasanya menyemak dan menyesuaikan premium setiap tiga tahun untuk memastikan keberlangsungan pelan insurans perubatan, dengan kesan kumulatif inflasi tuntutan menghasilkan penyesuaian premium yang meningkat," ujarnya.