BN tidak terlibat dalam pemberian kad pengenalan di Sabah - Najib

Abdul Hafiz Mustadi
Julai 2, 2022 07:20 MYT
Najib (kanan) menegaskan Kerajaan BN terdahulu yang dipimpin olehnya telah melantik pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
PENAMPANG: Barisan Nasional (BN) tidak terlibat dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penasihat BN itu sebaliknya menegaskan Kerajaan BN terdahulu yang dipimpin olehnya telah melantik pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
"BN tidak terlibat dalam pemberian IC (kad pengenalan)... tidak. Apa yang berlaku terdahulu kita mahu memperbetulkannya
"Atas sebab itu kita meletakkan PBS untuk menyelesaikannya ketika zaman (pentadbiran) saya," katanya selepas sidang media selepas hadir pada Majlis Konvensyen BN Sabah di Penampang pada Sabtu.
Ditanya kenapa PBS membangkitkan perkara itu sedangkan mereka berada dalam kerajaan, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan tidak pasti mengenai perkara itu.
Untuk rekod, ketika era pentadbiran Najib pada 2013, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kebanjiran PATI di negeri itu.
Apa yang penting untuk Sabah kata Najib ialah memperkukuhkan kawalan sempadan dan keselamatan serta pembangunan negeri Sabah.
#kad pengenalan #PATI di Sabah #Najib Razak #masalah PATI di Sabah