BN tetap kalah kalau DUN Selangor bubar - Penganalisis

Wan Syamsul Amly
Ogos 1, 2014 13:00 MYT
BN tetap kalah kalau DUN Selangor bubar - Penganalisis
Barisan Nasional (BN) di atas kertas dilihat masih belum cukup bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat (PR) seandainya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam tempoh terdekat.
Ia disifatkan berpunca situasi semasa BN Selangor yang masih dalam proses penstrukturan semula pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tahun lepas.
Penganalisis Geopolitik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, BN baru bermuhasabah dan masih tercari-cari sokongan pengundi di negeri itu.
"Mereka (BN) sedang muhasabah diri dan mencari ramuan untuk menawan semula Selangor. Walau gelombang perpecahan PR sudah ada, BN masih belum bersedia dan proses penyusunan semula setiap cawangan mereka juga perlu mengambil sedikit masa.
"Bagaimanapun, jika isu ini berpanjangan sedikit lagi, ia mungkin memberi lebih kelebihan kepada BN untuk menyelesaikan beberapa perkara dalaman mereka sebelum menghadapi pilihan raya negeri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Dr. Mohd. Fuad berkata demikian ketika diminta mengulas isu pergolakan politik PR Selangor, isu menteri besar dan peluang BN untuk merampas semula negeri itu seandainya berlaku pembubaran DUN.
Dalam pada itu ujarnya, BN perlu giat menarik semula pengundi atas pagar yang memberi kepercayaan kepada PR pada PRU ke-13.
"BN harus sedia memberi aspirasi terkini dan perubahan yang ingin dibuat kepada pengundi atas pagar ini...jika tidak mereka tidak akan beralih kepercayaan dan menunggu PRU ke-14 kelak untuk menukar fikiran.
"Jika BN tidak bersedia untuk segera membuat beberapa perubahan dan masih pada corak lama, lupakan sahaja niat untuk mengambil semula Selangor. Paling penting BN perlu bijak menangguk di air keruh" katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Mansor Mohd. Noor mahu BN mempunyai perancangan alternatif untuk mentadbir Selangor seandainya pembubaran DUN berlaku.
"Kira-kiranya mudah, rakyat mahu lihat perancangan BN, siapa pemimpin yang mahu diketengahkan dan perancangan masa depan untuk kemajuan negeri.
"Buat masa ini masih tiada pemimpin BN yang betul-betul boleh menjaga Selangor, masih belum jelas siapa dari BN yang benar-benar boleh mentadbir negeri itu," jelasnya.
Tambahnya, pemimpin kitar semula BN yang kebanyakannya veteran dilihat masih belum mampu memberi kepercayaan kepada rakyat negeri itu untuk mentadbir Selangor.
"Percaturannya perlu ada pemimpin pelbagai lapisan umur, kena ada muda, kelas pertengahan dan keluar dari imej korporat UMNO.
"Saya rasa peluang masih 50-50, mereka perlu sedar perkara ini jika masih berhajat untuk mengambil semula negeri," jelasnya.
Kedudukan parti di DUN Selangor ialah PAS (15 kerusi), DAP (15 kerusi), PKR (14 kerusi) dan BN (12 kerusi). Jumlah kesemua kerusi ialah 56 kerusi.
#BN #DUN #PR #PRU #Selangor
;