BN tak perlu gimik serah kereta sebagai bukti integriti
Nazialita Geynna Maharan
April 11, 2018 20:25 MYT
April 11, 2018 20:25 MYT
“Tak perlulah panggil media, pulangkan kenderaan rasmi. Itu dah jadi amanah seorang Exco Kerajaan Negeri seperti kami.”
Demikian kenyataan ringkas Exco Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohd Zahir Abd Khalid mengenai tindakan beberapa kepimpinan negeri pembangkang yang seakan dahagakan publisiti baru-baru ini.
Jelasnya, bagi kebanyakan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Perak khususnya, amalan mengembalikan kenderaan rasmi sebaik sahaja selesai Istiadat Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah perkara rutin dan biasa ketika penggal berakhir.
“Jumaat lepas, dah saya kembalikan kereta itu selepas mesyuarat Exco terakhir tanpa sebarang keinginan untuk menonjolkan diri, begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain.
“Alaa...benda itu biasalah, kereta tersebut kami kembalikan sama juga seperti masa PRU13 pada 2013, tak usah menyusahkan media…ini kewajipan kami,” katanya kepada Astro Awani pada Rabu.
Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin turut bersetuju bahawa tindakan menguar-uarkan tindakan memulangkan kenderaan rasmi itu dilihat sebagai menagih perhatian.
"Kenderaan itu digunakan untuk melunaskan amanah, melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Exco dan wakil rakyat bagi saya, sesudah bubar, kami sudah tahu kena bagi balik...bezanya tak perlu kami panggil liputan," ujarnya lagi.
#Amanah
#Barisan Nasional
#kereta
#Malaysia Memilih
#Media
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#PRU
#serah kereta