BN Perak wujudkan kelompok pemantau pilihan raya

Bernama
Februari 11, 2013 22:41 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau yakin unsur sabotaj dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Perak tidak menonjol seperti digembargembur pihak tertentu.
Namun, Barisan Nasional (BN) Perak akan mewujudkan kelompok pemantau di setiap bahagian bagi memastikan pilihan raya itu berjalan lancar, katanya.
Beliau berkata ia merupakan keputusan daripada Mesyuarat Majlis Tertinggi BN baru-baru ini, yang akan dilakukan di Perak.
"Kita (BN) mempunyai cabaran untuk pertarungan di Perak dan masing-masing (pemimpin) menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Anggota Parlimen Gerik Datuk Tan Lian Hoe dan Timbalan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Perak V.K Chai.
Ditanya mengenai Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel tidak bersetuju dengan tawaran dua jawatan senator sebagai tukaran melepaskan DUN Behrang dan Pasir Panjang, Zambry berkata beliau terkejut dengan perkara tersebut (tawaran dua jawatan senator) kerana ia di luar pengetahuannya.
"Saya tidak tahu menahu tentang perkara itu, saya pun tidak berjumpa dengan beliau lagi, jadi saya tidak tahu apa kenyataan sebenar...sama ada benar atau tidak," katanya.
Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, berkata Palanivel tidak sepatutnya mendedahkan pengagihan kerusi MIC di Perak kepada umum.
Katanya walaupun ia bidang kuasa Majlis Tertinggi BN tapi berdasarkan budaya parti komponen, perkara membabitkan pembahagian kerusi dibincangkan di peringkat negeri dahulu sebelum dibawa ke atas.
Tindakan itu masih terlalu awal dibuat memandangkan ia tidak pernah dirujuk kepada BN negeri, katanya.
#BN Perak #Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir #Perak #PRU 13
;