BN P. Pinang bercanggah tentang pembinaan lapangan terbang di Kedah - Guan Eng
Teoh El Sen
Jun 21, 2014 14:44 MYT
Jun 21, 2014 14:44 MYT
Dua parti komponen Barisan Nasional Pulau Pinang, UMNO dan Gerakan didakwa berterusan mempunyai pandangan yang berbeza berhubung cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini.
Lim dalam satu kenyataan menggesa kedua-dua parti terbabit mengambil satu pendirian yang konsisten mengenai perkara itu sambil berkata Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow telah membantah pembinaan lapangan terbang di Kedah sementara projek yang sama di sokong oleh UMNO negeri Pulau Pinang.
“Pendirian berbeza antara Teng dan UMNO Pulau Pinang adalah mengelirukan. Bolehkah Teng dan UMNO Pulau Pinang bersama-sama berjumpa dan menentukan apakah pendirian konsisten BN Pulau Pinang?
"Adakah UMNO Pulau Pinang atau Teng mewakili pandangan Barisan Nasional negeri?" tanya Lim lagi.
Lim merujuk kepada kenyataan Teng sebelum ini yang dilaporkan oleh The Star yang berpendapat adalah lebih baik untuk meningkat taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sedia ada.
“Cadangan dari kerajaan negeri Kedah kekurangan fakta dan angka untuk mewajarkan sebuah lapangan terbang antarabangsa baru (dibina),” kata Lim lagi.
Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman pula dipetik berkata kepada agensi berita Bernama bahawa Pulau Pinang tidak seharusnya merasa terancam dengan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, kerana ia juga memberikan manafaat bukan sahaja kepada Kedah, tetapi tiga kawasan di Pulau Pinang dan utara Perak.
Lim mendakwa punca Gerakan menentang pembinaan lapangan terbang di Kedah adalah kerana parti itu takut akan kehilangan penyokongnya sementara Zainal pula perlu menyokong sebarang cadangan dari pemimpin UMNO.
“Mereka tidak berminat tentang kebajikan penduduk di Pulau Pinang. Sebaliknya mereka mementingkan diri sendiri dalam memberikan pandangan,” ujar Lim kepada Astro AWANI.
Hujah Lim mengenai perlunya menaik taraf
Lim turut melahirkan kekesalan yang Pakatan Rakyat terus dipersalahkan apabila meminta Putrajaya untuk menimbangkan peruntukan RM600,000 untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sebelum kerajaan pusat bercadang untuk membina sebuah lapangan terbang baru bernilai RM2 bilion di Kedah, tambah lagi PIA dimiliki, diurus dan di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Semasa projek menaik taraf PIA yang menelan belanja RM250 juta, kontraktor telah dilantik oleh Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri tidak pernah dirujuk.
Lim berkata keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha menaik taraf lapangan terbang itu dan bukannya lapangan terbang baru di Kulim.
PIA juga katanya adalah antara lapangan terbang yang sibuk di negara ini ekoran ketibaan pelancong dan perkhidmatan kargonya.
Selain itu jumlah pelaburan langsung luar negara (FDI) yang tinggi turut menuntut ia diberikan keutamaan.
Lim mengemukakan permohonan kepada Putrajaya Rabu lalu bagi membina dua landasan, sebuah kemudahan kargo selain perbelanjaan untuk penyelenggaraan, membaik pulih dan MRO di PIA.
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sebelum ini mencadangkan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim sebagai gerbang kemasukan ke negeri-negeri di utara dan Pulau Pinang tidak mempunyai kawasan memadai untuk dinaik taraf.