BN masih kekal berkuasa di Terengganu - penasihat undang-undang negeri

Bernama
Mei 13, 2014 12:02 MYT
BN masih kekal berkuasa di Terengganu - penasihat undang-undang negeri
Barisan Nasional (BN) masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya dari Umno mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas, kata penasihat undang-undang negeri Datuk Azhar
Abdul Hamid.
Beliau berkata walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3.
Tiga wakil rakyat yang mengisytiharkan keluar daripada Umno ialah bekas menteri besar dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said, yang meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif semalam, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).
Azhar ketika dihubungi Bernama, berkata speaker DUN turut dikira bersama 14 Adun BN yang masih tinggal dan dengan itu kerajaan BN masih kekal memerintah negeri ini.
Selepas Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar semalam, Adun Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau Negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu malam tadi.
#BN #terengganu
;