BN hilang negarawan bila tumbang dalam PRU14 - Presiden MIC
Ridauddin Daud
Jun 1, 2022 17:22 MYT
Jun 1, 2022 17:22 MYT
Tan Sri SA Vigneswaran menyifatkan Barisan Nasional kehilangan seorang negarawan apabila gabungan itu tumbang kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menyifatkan Barisan Nasional (BN) kehilangan seorang negarawan apabila gabungan itu tumbang kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Negarawan yang beliau maksudkan ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletak jawatan sebagai Pengerusi BN selepas kerajaan pimpinannya tumbang.
“Kepada mereka yang menuduh kita parti yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang, terbukti mereka salah apabila transaksi kuasa daripada kita kepada mereka berlaku secara aman mengikut lunas undang-undang tanpa sebarang titisan darah.
“Kita juga kehilangan seorang negarawan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab dengan bukan sahaja serah kuasa secara aman tapi juga meletak jawatan pengerusi parti.
“Transaksi aman ini menggambarkan politik yang cukup matang dan sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan”, bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48 di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, ketidaktentuan yang berlaku dalam negara sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya berlaku lagi dan gabungan itu tidak boleh dibenarkan memenangi pilihan raya akan datang.
“Negara kita terbukti maju di bawah BN sepanjang enam dekad kita mentadbir sebelum 2018 manakala corak pentadbiran pembangkang hampir membawa kehancuran kepada pertumbuhan dan pembangunan negara.
“Rakyat kita harus sedar sekarang, mereka tidak mampu untuk memperjudikan nasib negara kita sekali lagi. Ketidaktentuan yang disajikan dalam negara kita daripada pembangkang selama 22 bulan tidak boleh dibenarkan untuk mereka memenangi PRU akan datang.
“Negara dan rakyat tidak mampu untuk melakukan kesilapan itu sekali lagi,” ujarnya.