BN dijangka umum manifesto Sabtu ini
Astro Awani
April 3, 2013 11:25 MYT
April 3, 2013 11:25 MYT
Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 dalam satu majlis khas di Stadium Putra Bukit Jalil, Sabtu ini sekaligus melancarkan jentera pilihan raya.
Ia dijangka akan disiarkan secara langsung melalui televisyen.
Manifesto itu dijangka akan menggariskan pelan BN untuk meneruskan usaha tranformasi kerajaan dan ekonomi yang dimulakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak empat tahun yang lalu.
Selain manifesto tersebut, BN juga dijangka akan melancarkan manifesto khusus di beberapa negeri termasuk Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.
Pakatan Rakyat sebelum ini melancarkan manifestonya pada 25 Februari lepas pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam.
Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sebelum ini memberi tawaran masa 10 minit kepada semua parti politik untuk membentangkan manifesto masing-masing melalui siaran rakaman.
Tawaran itu bagaimanapun ditolak oleh Pakatan Rakyat dengan alasan antaranya tempoh itu tidak memadai serta menuntut liputan media yang adil dan saksama.
Dalam pada itu, BN juga dijangka akan mengumumkan senarai calonnya lebih awal dan tidak menunggu sehingga terlalu hampir dengan tarikh penamaan calon.
Biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh selama 60 hari iaitu sehingga 2 Jun ini untuk mengadakan pilihan raya, hari pengundian itu dijangka akan berlangsung seawal-awalnya pada 20 April.
Ini bermakna penamaan calon mungkin akan ditetapkan pada 10 April dengan tempoh berkempen ditetapkan selama 10 hari.