BN dan PAS siap sedia hadapi Pilihan Raya Kecil Sungai Limau

Irwan Muhammad Zain
Oktober 1, 2013 00:00 MYT
Biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, namun dua parti yang bakal bersaing kini sudah siap sedia untuk berdepan antara satu sama lain.
Jentera kempen UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, kini menunggu arahan seterusnya untuk memastikan kemenangan calon masing-masing.
Di pihak BN Kedah, perbincangan tentang kriteria calon yang bakal dipilih sudahpun dibuat dalam satu mesyuarat membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir menjelaskan individu yang akan dicadangkan mesti mempunyai ciri-ciri kelayakan tertentu terutama memenuhi kehendak pengundi di kawasan itu.
Mukhriz berkata BN Kedah akan mencadangkan tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih sebagai calon berdepan calon Pakatan Rakyat.
"Tiga calon yang akan kami cadangkan mesti ada pendidikan agama dan anak tempatan," katanya.
Menteri Besar Kedah itu berkata BN perlu bekerja keras dan menunjukkan kesungguhan untuk membangunkan kawasan itu dengan menyakinkan penduduknya tentang keikhlasan kerajaan negeri jika mahu menawan Sungai Limau.
Beliau berkata kira-kira 40 peratus daripada 27,287 pengundi Sungai Limau adalah golongan muda dengan kaum Melayu seramai 25,388 orang.
BN yakin mereka (golongan muda) mahukan pembangunan dan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, katanya.
Mukhriz berkata beberapa jawatankuasa khas bagi menghadapi pilihan raya kecil Sungai Limau akan ditubuhkan untuk menggerakkan jentera dan kempen BN agar berjalan lancar termasuk penempatan negeri dan bahagian-bahagian di 19 pusat daerah mengundi dalam DUN itu.
Beliau juga mengakui BN sebagai 'underdog' dalam pilihan raya kecil itu dan mengakui DUN itu merupakan kubu kuat PAS.
"Maksudnya, kita datang ke sini dalam keadaan kecil dan peluang untuk menang juga payah. Ini satu pengakuan.
"Cuma kami sebagai sebuah parti yang menepati janji, menawarkan satu bentuk peluang kepada rakyat Sungai Limau untuk bergerak bersama dalam arus pembangunan perdana yang kita sedang rangka untuk Kedah.
"Oleh itu kita dapat pastikan peluang untuk kita bawa kemajuan ke seluruh pelosok Kedah lebih meluas, tidak kira di kawasan yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS atau BN," katanya.
Sementara itu, PAS akan memastikan kerusi DUN Sg Limau akan dipertahankan kerana ia merupakan kubu kuat parti itu kerana bekas penyandangnya berjaya mengekalkan kerusi itu lima penggal berturut-turut.
Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, Senator Datuk Muhamad Yusof berkata pihaknya yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau berdasarkan khidmat bekas menteri besarnya Tan Sri Azizan Abdul Razak di kawasan itu sebelum ini.
"Ini maruah kita. Lima penggal PAS mengekalkan kuasa bawah pimpinan Azizan. Kita akan cuba pertahankan kemenangan itu pada PRK nanti," katanya.
Beliau juga berkata PAS akan menggerakkan jentera supaya bekerja lebih keras bagi mempertahankan kerusi itu dan difahamkan jawatankuasa khas ditubuhkan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.
Pilihan raya kecil kawasan DUN Sungai Limau bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas Pesuruhjaya PAS Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak 26 September lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Azizan yang juga bekas menteri besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.
SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 3 Oktober depan untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN itu.
#BN #PAS #pilihan raya kecil #Sungai Limau