BN buat laporan polis berkenaan patung kaki

Astro Awani
November 2, 2013 07:59 MYT
Barisan Nasional (BN) pada Sabtu membuat laporan polis berhubung patung-patung provokasi yang diletakkan berhampiran beberapa pusat gerak kerja parti itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya menerima laporan terdapat patung kaki berhampiran khemah BN di tiga kawasan.
Menurut sumber Jamil Khir, patung-patung kaki itu digantung berhampiran khemah BN di Bukit Besar, Titi Batu dan Simpang Tiga, Sungai Limau luar.
“Tidak memberi impak kepada jentera kita tapi kita tahu ia untuk tujuan meraih simpati di saat-saat akhir, hal seperti ini adalah satu perkara yang amat jijik dan tidak wajar dilakukan,” kata Jamil Khir.
Beliau yang juga ahli parlimen Jerai berkata demikian dalam sidang media khas di bilik gerakan BN di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah.
Difahamkan patung berkenaan digantung dari paras pinggang ke bawah dengan sebelah kaki dipotong serta tertera perkataan 'kaki ustaz', seolah-olah menggambarkan keadaan bekas wakil rakyat Sungai Limau Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang sebelum ini menjalani pembedahan memotong kaki akibat penyakit kencing manis.
BN menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dalang di sebalik perkara itu.
Jamil Khir bagaimanapun menolak dakwaan bahawa ia merupakan perbuatan sabotaj kalangan anggota parti itu sendiri.
#Azizan Abdul Razak #BN #Jamil Khir Baharom #kaki #patung #PRK #sg limau #Sungai Limau
;