BN boleh menang DUN Kajang - Abdullah

Bernama
Februari 19, 2014 14:03 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah halangan besar untuk Barisan Nasional menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada pilihan raya kecil 23 Mac itu.
BN boleh memenanginya jika berjaya menjelaskan isu-isu semasa yang dibangkitkan terutama daripada pembangkang, katanya.
"Peluang itu ada kalau kita (BN) boleh menjelaskan dan memberi keterangan dengan baik kepada pengundi di sana. Jika perlu kita menghadapinya, kita perlu buat dengan baik.
"Jika kita mampu menyampaikan hujah-hujah yang baik kepada pengundi untuk meyakinkan mereka, saya percaya kita tidak akan menghadapi masalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar 'Memperingati Allahyarham Profesor Datuk Dr Mohamed Mackeen Abdul Majid', bekas pensyarahnya ketika di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Abdullah berkata sekiranya BN gagal memberi penerangan atau tidak bersatu padu dalam melaksanakan kempen pilihan rayanya, maka peluang untuk merampas kerusi DUN Kajang itu, yang sebelum ini disandang PKR, agak sukar.
Ditanya mengenai tindakan BN yang masih belum mengumumkan calon untuk bertanding di PRK DUN Kajang itu, Abdullah berkata terpulang kepada pimpinan tertinggi BN untuk mengumumkannya pada bila-bila masa yang mereka rasakan sesuai.
PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.
PKR menamakan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu, sementara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, turut menyatakan hasrat bertanding di PRK itu sebagai calon bebas.
#Abdullah Badawi #DUN Kajang #PRU
;