BN atur gerak kerja awal hadapi PRK

Sinar Harian
Februari 23, 2025 13:30 MYT
Saarani (foto) berkata jentera parti akan segera memulakan aktiviti untuk memenangi PRK tersebut tanpa menunggu pengumuman tarikh dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -Gambar fail
IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mengatur gerak kerja awal bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada Sabtu.

Ringkasan AI
  • Barisan Nasional (BN) Perak telah memulakan persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin.
  • Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menyatakan bahawa jentera parti akan segera memulakan aktiviti untuk memenangi PRK tersebut tanpa menunggu pengumuman tarikh dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
  • Ishsam Shahruddin, yang memenangi kerusi DUN Ayer Kuning pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu, dan jenazahnya telah selamat dikebumikan pada Ahad.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jentera parti tidak akan menunggu pengumuman tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akan segera memulakan aktiviti ke arah memenangi PRK tersebut.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Pagi tadi saya telahpun dapat panggilan daripada Presiden UMNO dan kami berbincang untuk tidak menunggu pengumuman tarikh SPR.
"Bermakna, BN terlebih dahulu akan buat program dan aktiviti ke arah memenangi PRK di kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Saarani berkata, sebagai langkah awal, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa empat peringkat UMNO Bahagian Tapah termasuk ketua cawangan pada Rabu ini.
Katanya, perjumpaan itu antara lain membentuk jawatankuasa pilihan raya dan memastikan kesiap siagaan jentera parti.
"Soal calon biar Presiden tentukan kerana yang penting perlunya kita lakukan persediaan awal.
"Walaupun masih dalam kesedihan, kita kena hadapi juga kerana PRK ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Perak itu bersama kira-kira 1,000 jemaah menyertai solat jenazah di Masjid An-Nur Desa Sri Ampang di sini.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia jam 11 pagi pada Ahad.
Ishsam, 59, disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang jam 6.28 petang pada Sabtu akibat serangan jantung.
Beliau sebelum itu dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.
Beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain. -Sinar Harian
#Ishsam Shahruddin #Ahmad Zahid Hamidi #Saarani Mohamad #PRK DUN Ayer Kuning #Barisan Nasional
;