BN akan pertahan Perlis demi kesejahteraan rakyat - Shahidan

Bernama
Februari 10, 2018 04:00 MYT
Shahidan berkata, semua calon BN di Perlis bersedia menghadapi siapa sahaja saingan mereka dan yakin dapat mempertahankan kerusi masing-masing. - Gambar fail
Barisan Nasional (BN) Perlis akan mempertahan dan mengekalkan kemenangannya di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang kerana tiada parti lain yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau berkata tidak seperti pakatan pembangkang dalam membina kerajaan, BN mengutamakan kasih sayang yang merupakan asas penting dalam membina sebuah kepimpinan yang baik.
"Mereka (pembangkang) hanya tahu gerakkan orang ramai bencikan kerajaan, mana mungkin boleh bina kerajaan berasaskan perbalahan dan caci maki? Kita mahukan kerajaan yang ada kasih sayang dan sentiasa tolong rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bengkong Tingkatan Pelajaran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) peringkat negeri di sini, pada Sabtu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga berkata, semua calon BN di Perlis bersedia menghadapi siapa sahaja saingan mereka dan yakin dapat mempertahankan kerusi masing-masing.
Di KANGAR, Timbalan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata BN Perlis yakin mendapat sokongan penuh pengundi masyarakat Siam pada pilihan raya umum itu, sekaligus memastikan BN terus kekal memerintah negeri ini.
Masyarakat Siam di negeri itu terus menunjukkan tahap kesetiaan kepada BN kerana kebajikan mereka sentiasa dibela kerajaan.
"Mereka dapat banyak faedah daripada kerajaan, banyak tuntutan dan isu dapat diselesaikan, misalnya isu hak milik tanah yang berpuluh tahun, dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk masyarakat Siam.
Katanya, kerajaan sentiasa memikirkan dan akan berusaha untuk memastikan kebajikan semua pihak terbela tanpa membezakan agama, bangsa mahu pun budaya.
Dalam perkembangan lain, Azlan menyifatkan tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai tidak matang apabila mempertikai tindakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA
#Azlan Man #Barisan Nasional #BN #masyarakat Siam #pengundi #Perlis #Shahidan Kassim #UMNO
;