BMS 2023 platform terap budaya menabung
Bernama
Oktober 1, 2023 22:28 MYT
Oktober 1, 2023 22:28 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 sebagai usaha untuk menjadi produk simpanan pilihan utama masyarakat.
Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata BMS merupakan program eksklusif perbadanan itu sejak dilaksanakan pada 2018 yang bertujuan meningkatkan amalan penabungan selain mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk pilihan.
"Dalam tempoh 19 tahun Simpan SSPN diperkenal, pencapaian deposit sentiasa menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun. Sehingga 31 Ogos lepas, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM15.81 bilion melibatkan 6.04 juta akaun dan ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik dalam negara.
"PTPTN menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN bagi BMS 2023 sebanyak RM220 juta pada tahun ini. Saya optimis BMS 2023 akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Malaysia," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran BMS 2023 di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Norliza berkata komitmen PTPTN dalam memupuk budaya menabung turut diterjemah dalam Pelan Strategi PTPTN 2021-2025 dan ia selaras dengan hasrat agensi itu untuk mentransformasi minda masyarakat daripada meminjam kepada menyimpan bagi mengelakkan anak mereka dibelenggu hutang selepas tamat pengajian.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian hadiah wang tunai RM2,023 kepada pemenang kempen Cabutan WOW! Syoknya Raya iaitu B. Machap dan Mohd Yazeed Othman serta juara 'Action Song' Simpan SSPN 2023, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Petaling.
Machap, 39, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata beliau terkejut dipilih sebagai pemenang namun pada masa sama, menzahirkan rasa gembira dengan usahanya menyimpan dalam Simpan SSPN Plus.
"Saya memang rasa gembira dan amat bangga. Ini tabung simpanan untuk pendidikan anak-anak, jadi saya buatlah untuk masa depan mereka," kata ibu kepada tiga anak itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mula menyimpan dalam akaun Simpan SSPN Plus sejak Mac lepas.
Mohd Yazeed, 37, pula berkata anak menjadi pendorong untuk dirinya memilih menyimpan di Simpan SSPN yang mula dibuka Oktober tahun lepas.
"Perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak sangat mustahak dan ini adalah satu daripada peluang yang harus kita ikut. Tanggungjawab kita memastikan anak-anak mempunyai tabung pendidikan untuk masa depan," kata bapa kepada lima anak itu.
Bagi guru SK Desa Petaling iaitu Fathimah Nurhanisah Zailani, Simpan SSPN 2023 merupakan platform terbaik untuk mendedahkan kanak-kanak terhadap kepentingan menabung untuk masa depan.
"Sebelum ini mereka tidak ada pendedahan mengenai Simpan SSPN, jadi dengan adanya Pertandingan Action Song, anak-anak pun mula bertanya: Cikgu, Simpan SSPN ini apa, simpanan itu macam mana dan ini memang bagus," katanya.
BMS 2023, yang dilancarkan sempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang dirai pada 31 Okt setiap tahun bertemakan 'Robotik: Ke Arah Transformasi Dunia Pendigitalan,' mengekalkan slogan 'Jom Jadi Superhero Anak Anda.'
BMS 2023 turut membawa kelainan berbanding tahun sebelumnya kerana buat julung kali dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh negara sepanjang bulan ini.
Untuk maklumat lanjut berkaitan BMS 2023, layari www.ptptn.gov.my/BMS2023.
-- BERNAMA