BMF bantu golongan B40 miliki rumah - Vincent Tan
Astro Awani
April 29, 2021 23:16 MYT
April 29, 2021 23:16 MYT
KUALA LUMPUR: Better Malaysia Foundation (BMF) melancarkan program usaha sosial baharu untuk membantu menyediakan penyelesaian kepada masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah, terutamanya isi rumah B40.
Pengasas dan pengerusi BMF, Tan Sri Vincent Tan percaya usaha sosial tersebut akan memudahkan pembinaan hartanah yang berkos bulanan rendah untuk dimiliki, yang disesuaikan reka bentuknya untuk membolehkan sesebuah keluarga hidup dengan maju dan jaya.
“BMF percaya rumah mampu milik secara realistiknya berharga dari RM120,000 ke RM300,000, untuk sebuah pangsapuri yang bersaiz dari 450 kaki persegi, 600 kaki persegi, 750 kaki persegi hingga 900 kaki persegi di Lembah Klang.
“BMF bekerjasama dengan syarikat pemaju hartanah Berjaya Land Berhad telah mereka bentuk satu unit pangsapuri contoh bersaiz 900 kaki persegi dengan lima bilik dan empat bilik mandi untuk inisiatif ini.
“Kami membuktikan bahawa ia boleh dilakukan dengan keluasan unit sebesar 900 kaki dan pangsapuri tersebut mampu memberikan keselesaan dan ruang kepada sesebuah keluarga B40 yang besar, untuk memenuhi keperluan setiap ahli keluarga,” katanya pada satu sidang media di Berjaya Times Square Hotel di ibu kota pada Khamis.
Dalam pada itu, Tan berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan kerajaan dan mengesyorkan dua cadangan sebagai pertimbangan untuk memudahkan implementasi inisiatif strategik tersebut untuk berjaya.
“Kerajaan perlu menjamin pinjaman rumah pembeli rumah B40 supaya pinjaman tersebut ditawarkan pada kadar faedah yang rendah.
“Untuk pembeli rumah golongan B40, pihak bank dan institusi kewangan menyediakan pembiayaan 100 peratus untuk dua generasi, selama tempoh 40 ke 60 tahun, agar pembayaran balik pinjaman mampu diuruskan oleh pembeli,” katanya.
Ditanya sama ada cadangan supaya inisiatif kewangan menawarkan pinjaman perubahan dua generasi itu adalah untuk membantu pemaju menjual rumah, beliau menafikannya dan berkata, pemaju rumah di negara ini langsung tidak mempunyai niat untuk membina rumah mampu milik.
“Pemaju rumah di negara ini tidak perlukan bantuan sebegini. Mereka langsung tidak mahu membina rumah mampu milik.
“Ia penting untuk kami membantu rakyat yang miskin dan golongan B40 supaya mereka mampu memiliki sebuah rumah,” jelasnya.
#golongan B40
#BMF
#Better Malaysia Foundation
#Vincent Tan
#Berjaya Times Square Hotel
#rumah mampu milik
#pembiayaan