Blok kaca, lampu LED tonjol keunikan menara jam

Aida Aziz
Januari 23, 2022 02:16 MYT
Pengunjung dilihat bergambar bersama blok kaca dan lampu LED yang dipamerkan melalui inisiatif program Art In The City. - Astro AWANI
IPOH: Karya dan kreativiti anak tempatan ditonjolkan menerusi Projek Light yang menampilkan blok kaca dan lampu LED menggunakan 100 peratus tenaga solar.
Blok kaca yang mempamerkan imbasan cahaya sembilan menara jam yang sinonim di Perak itu kini dipamerkan di tapak Medan Selera Dato' Tahwil Azhar, Ipoh yang dirasmikan Sabtu malam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata projek tersebut inisiatif lanjutan daripada program Art In The City oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Think City.
"Projek Light di Ipoh merupakan instalasi seni oleh Liu Cheng Hua, artis pelbagai disiplin kelahiran Taiping, Perak yang terpilih menjayakan projek di tapak Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar, Ipoh, bertajuk ‘Pride #3’.
"Ia merupakan kesinambungan inisiatif Projek Light oleh Jun Ong di The Godown, Kuala Lumpur, untuk menghidupkan bandar melalui seni awam dan persembahan," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Think City Ipoh di Medan Selera Dato' Tahwil Azar, di sini pada Sabtu malam.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Sementara itu, Liu berkata Pride #3' adalah hasil daripada karya bersiri "Pride of the Portrait" yang dimulakan pada tahun 2010.
"Ia mengambil inspirasi menara-menara jam di Perak dengan sembilan menara telah dipilih untuk instalasi ini menggunakan blok kaca dan lampu LED berkuasa 100 peratus tenaga solar bagi mempamerkan lukisan digital menara-menara jam tersebut," katanya.
Beliau berharap projek berkenaan mampu membawa keceriaan kepada kawasan tersebut dan menarik minat para pengunjung sekitar Ipoh.
Difahamkan, selain Kuala Lumpur dan Ipoh, program ini juga dijadualkan akan berlangsung di Butterworth, Melaka, Batu Pahat dan Kuching.
#Projek Light #menara jam #lampu LED #tenaga solar