Blok bilik guru SMK Balai Ringin terbakar
Rudi Affendi Khalik
Januari 8, 2022 09:33 MYT
Januari 8, 2022 09:33 MYT
SERIAN: Satu letupan kuat mengejutkan pengawal Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Ringin di sini pada Sabtu, sebelum menyedari blok bilik guru sekolah tersebut sedang terbakar.
Dia kemudian segera menghubungi pihak bomba setelah menyedari bahagian atas bangunan dua tingkat itu sedang musnah.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawk, Tiong Ling Hii ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.04 pagi dan segera mengatur gerak dua jentera dan 15 anggota daripada Balai Serian dan Siburan.
"Ketika tiba di lokasi, komander operasi, Julie Umar memaklumkan kebakaran melibatkan struktur jenis kekal di blok pentadbiran bilik guru di tingkat atas.
“Pasukan kemudian melakukan 'size up' menggunakan satu aliran 400 kaki dan empat nozel, untuk melakukan pemadaman secara defensif dan ofensif.
Punca kebakaran kata Ling Hii, masih lagi dalam siasatan namun insiden tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Sekolah yang terletak di Kilometer 93, Jalan Kuching - Sri Aman itu memiliki lebih 1,700 pelajar dan sekitar 100 guru.